Foto: Facebook
Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M dengan melarang individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.
Advertisement
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa peraturan tersebut wajib dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum layak memperoleh visa haji yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Antara syarat utama yang ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada orang lain,” menurut kenyataan itu.
Antara kategori penyakit dan keadaan kesihatan yang menyebabkan seseorang tidak layak menunaikan haji termasuk:
• Kegagalan buah pinggang kronik
• Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
• Penyakit paru-paru kronik
• Penyakit hati kronik
• Masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif dan motor
• Warga emas dengan dementia atau fizikal terlalu lemah
• Kehamilan berisiko tinggi
• Penyakit berjangkit aktif
• Penyakit kanser yang sedang menjalani rawatan
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, menegaskan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia sentiasa menjadi keutamaan utama dalam setiap operasi haji.
“TH sentiasa menitikberatkan kesihatan jemaah, terutamanya semasa berada di Tanah Suci. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian besar tenaga petugas terdiri daripada pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Untuk musim Haji 1447H/2026M, TH akan terus menyediakan kemudahan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, lengkap dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas KKM.
Bagaimanapun, Mustakim menjelaskan bahawa TH tidak lagi dibenarkan menubuhkan Pusat Rawatan sendiri di Tanah Suci. Jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan dari KKM, dan jika perlu, ke hospital swasta. Sebanyak 225 petugas kesihatan akan ditempatkan bagi musim haji tahun depan.
Beliau turut menekankan bahawa tahap kesihatan yang baik adalah sebahagian daripada syarat kemampuan (istito‘ah) seperti yang digariskan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dan menjadi asas kelayakan setiap bakal jemaah.
“Seperti sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh KKM sebelum menerima tawaran haji. TH akan memastikan jemaah Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik sepanjang berada di Tanah Suci,” ujarnya.
Mustakim juga menasihatkan bakal jemaah agar membuat persediaan fizikal secukupnya kerana ibadah haji menuntut ketahanan tubuh yang tinggi dalam keadaan cuaca panas dan berdebu di Arab Saudi.
Sumber: Astro AWANI