
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan belia untuk membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di Perak sempena sambutan Hari Belia Negara, esok.
Advertisement
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Datuk Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin menitahkan khutbah Jumaat di negeri Perak esok bertemakan “Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan”.
Katanya, baginda memperkenan belia untuk diberikan penghormatan membaca khutbah dalam semangat menghargai dan mengiktiraf peranan penting belia dalam negara.
“Susulan daripada itu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah mengemukakan 70 nama pemimpin belia kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
“Nama tersebut untuk diangkat sembah mendapat perkenan Sultan Nazrin membaca khutbah di 70 buah masjid di negeri Perak,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia menyambut Hari Belia Negara pada setiap 15 Mei.
Sumber : AlHijrah Online