
Dalam dunia hari ini, lelaki sering diukur melalui apa yang nampak di mata seperti wajah yang tampan, tubuh yang sasa, mempunyai kereta mewah dan akaun bank yang penuh angka. Namun semua itu sebenarnya tidak kekal dan bersifat sementara. Rupa akan dimamah usia, harta boleh hilang dalam sekelip mata.
Advertisement
Imam asy-Syafi’i, seorang ulama besar Islam, meletakkan definisi lelaki sejati pada asas yang jauh lebih mendalam dan bermakna. Bukan luaran, tetapi empat kualiti dalaman yang membentuk nilai seorang lelaki sepanjang hayatnya.
Ad-Diyanah (Prinsip Agama yang Kukuh)
Lelaki sejati ialah lelaki yang menjadikan agama sebagai kompas hidup. Dia tahu apa yang halal dan haram dan menjadikan iman sebagai benteng dalam membuat keputusan. Ketika orang lain goyah dengan godaan dunia, dia tetap berdiri dengan prinsipnya.
Agama bukan sekadar di bibir, tetapi hidup dalam amal dan akhlaknya.

Al- Amanah (Boleh Dipercayai dan Pegang Janji)
Amanah ialah sifat yang membezakan lelaki biasa dengan lelaki yang dihormati. Kata-katanya bukan sekadar janji kosong. Bila dia bercakap, orang yakin. Bila dia memikul tanggungjawab, dia laksanakan dengan penuh kesungguhan.
Lelaki yang amanah tidak lari daripada tanggungjawab, walaupun berat dan sukar.
As-Siyanah (Menjaga Maruah dan Harga Diri)
Lelaki sejati tahu menjaga kehormatan dirinya, lisannya, pergaulannya dan batasannya. Dia tidak menjual maruah demi populariti, tidak merendahkan diri demi pujian sementara.
Dia tahu siapa dirinya, dan tidak perlu merosakkan harga diri untuk diterima orang lain.

Ar-Razanah (Tenang, Matang dan Tidak Melulu)
Dalam menghadapi ujian hidup, lelaki sejati tidak meledak dengan emosi. Dia berfikir sebelum bertindak, bersabar sebelum menghukum dan tenang walaupun diuji.
Kematangan bukan diukur pada usia, tetapi pada kebijaksanaan mengawal diri.
Harta akan habis digunakan, paras rupa akan pudar seiring usia namun sifat-sifat di atas adalah nilai yang menjadikan seorang lelaki akan dihormati sepanjang zaman.
Inilah warisan pemikiran Imam asy-Syafi’I, satu definisi lelaki sejati yang relevan dalam apa jua zaman dan wajar dijadikan cermin untuk kita semua.