Skip to main content

Advertisement

Berita

Ditipu Israel Bahawa Keluarga Sudah Meninggal Ketika dalam Tahanan, Shadi Bersyukur Isteri dan Anak-Anak Masih Hidup

ditipu israel bahawa keluarga sudah meninggal ketika dalam tahanan, shadi abu seido bersyukur dapati isteri dan anak-anak masih hidup setelah bebasFoto: Instagram

Di tengah-tengah gelombang pembebasan hampir 2,000 tahanan Palestin oleh rejim Israel baru-baru ini, satu kisah menyayat hati mencuri perhatian dunia.

Advertisement

Tahanan Palestin, Shadi Abu Seido akhirnya dipertemukan semula dengan keluarganya selepas bertahun-tahun meringkuk di penjara Israel. Namun, kisah di sebalik pembebasannya penuh penderitaan psikologi yang sukar dibayangkan.

Menurut rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan oleh beberapa saluran berita serantau, Shadi mendedahkan bahawa sepanjang tempoh soal siasat, beliau diseksa secara mental apabila penyiasat Israel berulang kali mendakwa bahawa seluruh keluarganya telah terbunuh dalam serangan. Tipu daya itu digunakan bagi melemahkan semangatnya dan memaksa pengakuan.

Namun, saat pintu penjara terbuka dan nama Shadi diumumkan sebagai antara tahanan yang dibebaskan, segala dusta itu akhirnya terbongkar.

 

 

Di luar pagar penjara, isteri, anak-anak dan kedua-dua ibu bapanya berdiri menantinya. Dalam suasana penuh hiba, Shadi yang masih berpakaian seragam penjara terus memeluk mereka dengan linangan air mata, antara terkejut dan gembira melihat keluarga yang disangkanya telah tiada masih hidup di hadapannya.

Momen pertemuan itu dirakam oleh saksi di lokasi dan segera tular di media sosial, menjadi simbol kepada penderitaan tahanan Palestin yang berdepan pelbagai bentuk seksaan sepanjang tempoh penahanan mereka.

Sementara itu, laporan daripada Al Jazeera dan Middle East Eye turut mengesahkan bahawa ramai tahanan Palestin yang dibebaskan minggu ini menceritakan pengalaman penderaan fizikal dan mental di pusat tahanan Israel, termasuk diseksa, diugut serta dinafikan hak berhubung dengan keluarga.

Pembebasan besar-besaran ini berlaku serentak dengan rundingan pertukaran tebusan antara Hamas dan Israel yang bertujuan menamatkan ketegangan berbulan-bulan di Gaza. Ramai antara mereka yang dibebaskan terus dihantar ke Hospital Nasser di Khan Younis untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.

Sumber: Instagram

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda