Foto: Instagram
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez mengumumkan kerajaan akan menghantar sebuah kapal perang dari Cartagena bagi melindungi flotila bantuan antarabangsa menuju Gaza, selepas konvoi tersebut diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Advertisement
Tindakan itu diambil sebagai respons terhadap serangan ke atas Global Sumud Flotilla, yang dianggotai kira-kira 50 kapal awam membawa aktivis dan peguam dari 45 negara, termasuk aktivis iklim terkenal Sweden, Greta Thunberg.
Flotila berkenaan membawa bekalan makanan dan perubatan untuk penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat perang serta sekatan laut Israel.
“Kami akan menghantar kapal tentera laut dengan segala sumber yang diperlukan sekiranya perlu, bagi membantu flotila dan melaksanakan operasi menyelamat,” kata Sánchez dalam sidang media di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau turut menegaskan bahawa Sepanyol menuntut undang-undang antarabangsa dihormati dan keselamatan rakyatnya dijamin sepanjang pelayaran di Laut Mediterranean.
Dalam pada itu, Itali juga menghantar sebuah frigat tentera laut untuk membantu GSF yang diserang dron, kata Menteri Pertahanan, Guido Crosetto, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Crosetto berkata, beliau sudah memberi kebenaran bagi tindakan segera dengan mengarahkan frigat pelbagai guna Fasan, yang sedang belayar di utara Crete dalam operasi Mare Sicuro, untuk memberikan bantuan kepada rakyat Itali yang berada dalam flotila itu.
GSF menggunakan kira-kira 50 bot awam dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.
Serangan flotila itu berlaku sekitar 30 batu nautika dari Pulau Gavdos, Greece, membabitkan 12 dron dipercayai menyerang lima kapal hingga menyebabkan kerosakan pada tiang dan sistem komunikasi.
Walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab, negara itu sebelum ini mengecam misi flotila kerana didakwa menyokong Hamas.
Sejak konflik di Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 65,000 rakyat Palestin terkorban, manakala kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan berlanjutan.
Flotila ini dilihat sebagai inisiatif masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk Gaza yang terputus hubungan akibat sekatan.
Sánchez menegaskan Sepanyol menyokong misi kemanusiaan tersebut dan akan terus berdiri bersama negara lain mempertahankan hak asasi serta keselamatan peserta flotila.
Langkah Sepanyol ini menyusuli tindakan Itali yang lebih awal menghantar kapal perang dengan tujuan sama.
Sumber: Instagram