
Foto: X (@DSDrNaim)
Advertisement
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa semua bakal dhuyufurrahman (tetamu Allah) Malaysia boleh mula menyemak dan menjawab tawaran haji bermula 24 Oktober 2025 melalui laman web rasmi atau aplikasi THiJARI.
Menurut TH, tawaran akan dikeluarkan secara berperingkat, justeru para pendeposit yang telah mendaftar disarankan untuk membuat semakan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji 1447H/2026M.
Bakal haji diingatkan supaya mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun Tabung Haji bagi melayakkan diri menerima tawaran rasmi atau untuk mengemukakan permohonan rayuan haji.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan wajib lulus sebagai syarat utama sebelum menerima surat tawaran rasmi daripada TH.
Langkah ini penting bagi memastikan jemaah yang terpilih benar-benar berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Bagi mereka yang belum menerima tawaran haji pada peringkat awal, TH akan membuka permohonan rayuan bermula 3 November 2025 melalui platform digital THiJARI.
Rayuan ini memberi peluang kepada bakal jemaah yang telah lama menunggu giliran untuk dipertimbangkan berdasarkan kriteria tertentu seperti tempoh pendaftaran, umur dan baki simpanan.
TH menasihatkan semua bakal jemaah untuk mengemaskini maklumat peribadi masing-masing agar tidak terlepas makluman penting berkaitan tawaran dan rayuan.
Semoga semua pendeposit yang menanti panggilan ke Baitullah direzekikan menjadi tetamu Allah SWT, menunaikan ibadah haji dengan hati yang bersih, tubuh yang sihat dan niat yang ikhlas.
Sumber: X (@DSDrNaim)