
Foto Hiasan
Advertisement
Setiap kali tibanya Ramadan, masjid dan surau pasti meriah dengan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat Tarawih. Namun di sebalik kemeriahan itu, ada satu amalan yang sering dipandang ringan iaitu solat sunat rawatib ba’diyah selepas Isyak.
Menurut para ulama, solat sunat ini sebenarnya mempunyai kedudukan yang lebih utama dan konsisten pahalanya berbanding Tarawih, kerana ia termasuk dalam solat sunat rawatib yang sangat dituntut (muakkad).
Solat sunat rawatib ialah solat yang mengiringi solat fardu, sebelum (qabliyah) atau selepas (ba’diyah). Bagi Isyak, terdapat 2 rakaat ba’diyah yang sangat dianjurkan.
Dalam hadis sahih riwayat Sahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang menjaga 12 rakaat solat sunat rawatib sehari semalam akan dibinakan rumah di syurga.
Antaranya termasuk:
- 2 rakaat selepas Subuh
- 4 rakaat sebelum Zuhur & 2 selepas
- 2 selepas Maghrib
- 2 selepas Isyak
Ini menunjukkan rawatib bukan amalan kecil, malah ganjarannya luar biasa.
Solat Tarawih pula adalah sunat khusus Ramadan dan pahalanya sangat besar. Dalam hadis riwayat Sahih Bukhari, Nabi SAW menyebut sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
Namun bezanya:
Rawatib: Sunnah muakkad (sangat dituntut),diamalkan sepanjang tahun dan Nabi SAW sangat menjaga amalan ini.
Tarawih: Sunnah khusus Ramadan, sangat digalakkan tetapi bermusim
Sebab itu para ulama menegaskan, meninggalkan rawatib secara sengaja adalah satu kerugian besar.

Foto Hiasan
Berdasarkan pemerhatian ramai, sebahagian jemaah akan datang awal untuk Tarawih, duduk menunggu atau berbual tetapi tidak menunaikan rawatib selepas Isyak.
Ada juga yang terus keluar selepas Isyak dan datang semula untuk Tarawih.
Hakikatnya, hanya 2 rakaat tetapi ganjarannya berterusan hingga dibinakan rumah di syurga.
Bayangkan, sebelum bermula Tarawih, pahala besar sudah tersedia tetapi dilepaskan begitu sahaja.
Ulama menyarankan agar tunaikan rawatib terlebih dahulu, disusuli dengan tarawih, maka lengkaplah pahala para jemaah. Ini kerana dalam Islam, amalan kecil yang konsisten lebih dicintai Allah berbanding amalan besar tetapi jarang dilakukan.
Kalau selama ini kita terus ‘skip’, mungkin inilah masanya untuk berubah.