
Foto: REUTERS
Advertisement
Pasukan keselamatan Israel menahan lebih 200 aktivis yang menyertai konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dalam usaha menembusi sekatan maritim ke Gaza, menurut jurucakap rasmi tentera Israel pada Jumaat.
Aktivis yang ditahan datang dari sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk Sweden, Brazil, Perancis dan Malaysia. Mereka menyertai flotila yang dilaporkan sebagai misi maritim terbesar ke Gaza dalam beberapa tahun, melibatkan lebih 50 kapal dan lebih 500 aktivis dari seluruh dunia.
Operasi pemintasan bermula lewat malam semalam apabila tentera laut Israel menyerbu beberapa kapal dalam flotila yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti untuk rakyat Gaza.
Antara yang ditahan termasuk aktivis iklim terkenal, Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah Emma Fourreau, yang ketika itu berada di atas kapal Madleen dan Alma.

“Kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke pelabuhan Israel untuk proses pengusiran,” kata jurucakap tentera laut Israel, sambil mendakwa flotila berkenaan telah melanggar zon sekatan maritim yang ditetapkan.
Pihak berkuasa Israel turut mendakwa bahawa sebahagian peserta flotila mempunyai kaitan dengan kumpulan ekstremis, namun tuduhan itu dinafikan keras oleh penganjur.
Menurut penganjur GSF, misi tersebut berasaskan murni kemanusiaan dan bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis akibat sekatan berpanjangan dan konflik yang tiada berkesudahan.
“Ini adalah pencabulan undang-undang antarabangsa. Israel tidak berhak menghalang bantuan kemanusiaan untuk orang awam,” tegas kenyataan rasmi penganjur flotila.
Tindakan Israel itu segera mencetuskan kecaman antarabangsa. Beberapa negara termasuk Colombia, Venezuela dan Turkiye menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.
Misi GSF dilihat sebagai simbol solidariti global terhadap Palestin, dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dunia daripada aktivis alam sekitar, ahli politik hingga sukarelawan kemanusiaan.
Sekatan Israel ke atas Gaza yang sudah berlarutan lebih satu dekad telah menyebabkan lebih dua juta penduduk Palestin hidup dalam keadaan melarat, kekurangan bekalan asas dan terputus hubungan dengan dunia luar.
Misi flotila kali ini menekankan bukan sahaja aspek bantuan fizikal, tetapi juga mesej moral bahawa masyarakat dunia tidak akan berdiam diri melihat penderitaan berterusan rakyat Gaza.
Sumber: Astro Awani