
Foto Hiasan
Advertisement
Setiap kali Ramadan menjelma, kita sering dengar hadis masyhur ini dibacakan di masjid dan media sosial. Namun, pernah tak kita benar-benar berhenti sejenak dan fikir… kenapa Allah sendiri berfirman bahawa puasa itu untuk-Ku?
Sabda Nabi SAW:
“Allah berfirman: Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini bukan biasa-biasa. Ia adalah hadis qudsi iaitu kalam Allah yang disampaikan melalui lidah Rasulullah SAW. Dan yang membuatkan ia begitu luar biasa adalah bagaimana Allah menyandarkan puasa kepada diri-Nya sendiri.
Persoalan ini sering bermain di fikiran ramai. Bukankah semua ibadah itu untuk Allah? Solat, zakat, haji semuanya dilakukan kerana-Nya. Jadi mengapa puasa disebut secara khusus?
Menurut Syeikh Soleh al-‘Usoymi, apabila Allah menyandarkan sesuatu kepada diri-Nya, itu tanda kemuliaan dan kesempurnaan. Allah bersifat Maha Sempurna. Maka tidak disandarkan kepada-Nya melainkan sesuatu yang benar-benar suci dan sempurna.
Puasa yang dimaksudkan di sini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi puasa yang selamat daripada maksiat baik daripada segi ucapan mahupun perbuatan. Puasa yang menjaga lidah, pandangan, hati dan tingkah laku.
Itulah puasa yang layak disandarkan kepada Allah.
Inilah keistimewaan puasa yang sering membuat hati terasa halus bila difikirkan.

Solat - orang boleh nampak.
Zakat - orang boleh tahu.
Haji - seluruh dunia boleh saksikan.
Tetapi puasa?
Tiada siapa tahu sama ada kita benar-benar berpuasa atau tidak… kecuali kita dan Allah. Kita boleh sahaja berpura-pura berpuasa di hadapan manusia, tetapi hakikat sebenar hanya Allah yang mengetahui.
Di sinilah letaknya keunikan puasa. Ia adalah ibadah yang paling sukar dimasuki perasaan riak. Kerana ia tersembunyi. Ia rahsia antara hamba dan Tuhan.
Sebab itu ganjarannya juga luar biasa. Dalam hadis tadi, Allah tidak menyebut jumlah pahala seperti ibadah lain. Allah hanya berfirman: “Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.”
Bayangkan… apabila Allah sendiri yang menentukan balasan, tanpa had dan tanpa batas.
Ramai orang mampu menahan diri daripada makan dan minum. Tetapi tidak semua mampu menahan diri daripada:
- Mengumpat
- Berkata kasar
- Melihat perkara haram
- Memendam dengki
Puasa yang Allah muliakan adalah puasa yang menjaga keseluruhan diri. Kerana itu ia menjadi ibadah yang sangat tinggi nilainya.
Dan mungkin inilah sebabnya puasa begitu istimewa. Ia bukan sekadar ritual fizikal. Ia latihan keikhlasan paling halus. Ia ujian yang tidak boleh dipamerkan.