Skip to main content

Advertisement

Berita

“Benda Pertama Saya Nak Buat di Gaza Ialah Bancuh Susu…” – Sukarelawan Malaysia

“benda pertama saya nak buat di gaza ialah bancuh susu…” – sukarelawan malaysiaFoto: Instagram

Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang kini menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, berkongsi hasratnya untuk terus membantu bayi yang kelaparan sebaik sahaja tiba di bumi bergolak itu.

Advertisement

“Kapal kami membawa banyak susu formula. Perkara pertama yang saya nak lakukan bila sampai nanti adalah bancuh susu dan suapkan kepada bayi-bayi yang lapar di Gaza,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Ahmad Musa turut menzahirkan tekad menggunakan kelebihannya yang fasih berbahasa Arab bagi menyampaikan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada penduduk Gaza.

“Saya mahu beritahu mereka, walaupun Malaysia jauh, kami tetap peduli dan bersama-sama saudara kami di Gaza,” ujarnya.

Menurutnya, kapal ALMA yang dinaikinya sudah memasuki zon kuning sekitar jam 9 malam (waktu Malaysia). Zon itu digambarkan sebagai kawasan berjaga-jaga dengan risiko ancaman lebih tinggi daripada mana-mana pihak yang berhasrat menggagalkan misi.

Beliau berkata, semua peserta misi kini dalam keadaan siap siaga dengan kasut diletakkan berdekatan ketika tidur dan beg kecemasan atau grab bag sentiasa di sisi. Beg tersebut mengandungi pasport, bar tenaga serta ubat-ubatan penting.

“Latihan kecemasan dijalankan lebih kerap, manakala night watch (pemerhatian malam) kekal tiga orang pada satu-satu masa,” jelasnya.

Tambah Ahmad Musa, bekalan makanan di atas kapal mencukupi, namun pelbagai perasaan bercampur baur dialami semua peserta.

“Rasa teruja, tak sabar, tapi ada juga rasa bimbang. Apa pun kami berdoa agar perjalanan ini selamat dan dapat tiba di Gaza pada Khamis nanti,” katanya.

Ahmad Musa merupakan seorang daripada 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai pelayaran GSF bersama aktivis antarabangsa untuk menghantar bantuan makanan serta ubat-ubatan ke Gaza.

Sebelum ini, beberapa kapal misi dilaporkan rosak akibat serangan dron rejim Zionis, namun semua penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Sumber: Kosmo

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda