Negeri Perak melarang sebarang penjualan dan penggunaan minuman keras di semua lokasi perarakan pedati semasa sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di Ipoh, bermula dari 10 hingga 12 Feb ini.
Memetik laporan Bernama, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.
Advertisement
Menurutnya, llarangan itu julung kali dilaksanakan susulan aduan dalam kalangan penganut dan pengunjung semasa sambutan di lokasi berkenaan.
Foto: Malaysian Travel
"Sebelum ini, ada aduan berlaku aktiviti jualan dan minum arak ketika perarakan pedati terutama waktu malam, cuma tiada tindakan tegas diambil.
"Seramai 350,000 orang dijangka menghadiri sambutan perayaan di kuil berkenaan yang merupakan antara lokasi tumpuan para penganut agama Hindu di negara ini.
"Jadi kali ini, jika berlaku (penjualan dan minum), polis tidak akan tolak ansur, mereka akan ditangkap terus dan dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media Sambutan Hari Thaipusam 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Foto: Sinar Harian
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan itu, 400 anggota polis akan berada di sekitar lokasi sambil dibantu beberapa agensi lain yang terlibat secara langsung sepanjang tiga hari perayaan berlangsung.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mengelak melalui Jalan Raja Muda Aziz, Jalan Sultan Idris, Jalan Sultan Yusof, Jalan Lahat, Jalan Tun Perak dan Jalan Sungai Pari yang menjadi laluan pedati ke kuil berkenaan.
"Kita tak tutup jalan, cuma kita nasihatkan orang ramai tidak melalui jalan-jalan yang dinyatakan bagi mengelak berlaku kesesakan semasa perarakan pedati di laluan-laluan ini," ujarnya.
Sumber: Bernama