
Foto: Facebook (Khairul Johari)
Advertisement
Perkongsian seorang majikan di laman sosial berjaya menyentuh hati ramai orang. Beliau berkongsi kejadian sewaktu memerhatikan salah seorang pekerja mengemas barang. Pekerja itu akan pulang ke Pakistan setelah hampir lima tahun bekerja dengannya. Jika dihitung tempoh perkhidmatan, dialah pekerja paling lama dalam syarikat tersebut.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, saat ramai orang kehilangan pekerjaan dan terpaksa mengikat perut, pekerja itu datang dengan satu ayat yang ringkas tetapi penuh makna;
“Boss, apa-apa kerja pun saya boleh.”
Dia diterima bekerja bukan atas dasar simpati, tetapi kerana majikan itu melihat sesuatu yang jarang ada pada orang lain iaitu keikhlasan dan kesanggupan bekerja tanpa memilih. Pada pandangan mata pekerja itu, jelas terpancar sikap seorang lelaki yang memahami erti tanggungjawab.
Menurut majikan tersebut, pekerjanya itu bukan jenis yang banyak bercakap. Namun kekuatannya terserlah melalui perbuatan. Pernah suatu hari, barang-barang daripada kontena tiba di pejabat yang terletak di tingkat tiga tanpa kemudahan lif. Setiap kotak seberat 50 kilogram dan dia mengangkatnya seorang diri. Jumlahnya bukan sedikit, sekitar 200 hingga 250 kotak. Jika dikira kasar, hampir 10 tan berat keseluruhannya. Dia menyelesaikan kerja itu dalam masa enam jam tanpa sebarang rungutan atau keluhan. Melihat ketabahannya, majikan itu sendiri terasa sakit belakang walaupun hanya memerhati.
Ketika membantu pekerja itu mengemas barang sebelum pulang, satu perkara mula disedari. Di dalam begnya, tidak ada satu pun barang untuk kegunaan peribadi. Yang ada hanyalah cermin solek, mainan anak, mesin pengisar dan beberapa barangan dapur. Situasi itu membuatkan majikan tersebut terdiam lama. Banyak soalan bermain di fikirannya, namun sukar untuk diluahkan.
Akhirnya, soalan itu ditanya juga dengan suara perlahan.
“Barang kau mana?”
Pekerja itu hanya tersenyum kecil, senyuman seorang lelaki yang sudah biasa mendahulukan orang lain. Jawapannya ringkas, tetapi sangat menyentuh perasaan.
“Tak apa boss. Saya di sana boleh cari lagi. Ini semua untuk anak dan isteri.”
Ayat itu seolah-olah menekan tepat ke dada. Selama lima tahun bekerja, peluh dan tenaga lelaki itu digunakan untuk mencari rezeki orang lain. Tubuhnya letih demi kelangsungan syarikat. Namun apabila tiba masa untuk pulang, dia membawa kebahagiaan untuk keluarganya, bukan untuk dirinya sendiri. Beg yang dibawanya penuh, tetapi bukan dengan keperluan peribadi.
Berapa ramai sebenarnya manusia seperti ini yang wujud di sekeliling kita? Mereka yang kuat tanpa menunjuk, penat tanpa mengadu dan jarang bercakap tentang nasib hidup. Bukan kerana hidup mereka mudah, tetapi kerana mereka memilih untuk memikul tanggungjawab dalam diam.
Kisah ini mengajar satu perkara penting. Tidak semua orang dalam hidup mengejar kesenangan atau kemewahan. Ada yang hanya mengejar tanggungjawab dan kebahagiaan orang lain.
Bagi sesiapa yang sedang membaca artikel ini dan merasakan hidup terlalu berat, ingatlah bahawa masih ada manusia di luar sana yang memikul beban berlipat kali ganda dalam senyap, namun tetap melangkah pulang dengan senyuman.
Sumber : Facebook Khairul Johari