Skip to main content

Advertisement

Berita

Video ‘Bergendang’ Kejut Sahur Undang Polemik, Pendakwah Nasihat Henti Budaya Tidak Sesuai - “Kita Mempunyai Masyarakat Majmuk..”

video ‘bergendang’ kejut sahur undang polemik, pendakwah nasihat henti budaya tidak sesuai - “kita mempunyai masyarakat majmuk..” Foto: Tangkap layar TikTok

Satu rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu mengejutkan orang ramai untuk bersahur dengan memukul gendang dan berselawat menjadi perhatian ramai di media sosial.

Advertisement

Amalan yang sering dikaitkan dengan budaya di negara jiran itu dilihat mula dilakukan di negara ini, sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di sebuah kawasan apartmen di Balakong, Kajang.

Tindakan tersebut mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak yang beranggapan ia boleh mengganggu ketenteraman penduduk, terutama pada waktu awal pagi ketika kebanyakan orang sedang berehat.

Pendakwah terkenal, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, turut memberikan pandangan berhubung isu tersebut. Menurut beliau, walaupun tujuan mengejutkan sahur mungkin dianggap murni, pendekatan itu tidak wajar diperluaskan di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa tidak semua orang perlu bangun untuk bersahur, termasuk wanita dalam keadaan haid atau nifas, kanak-kanak kecil serta keluarga yang mempunyai bayi yang memerlukan rehat mencukupi.

 

@drrozaimiramleofficial

Video ini bukan di Indonesia, tapi berlaku di negara kita. Dulu kita selalu tengok perkara ini berlaku di negara jiran, sekarang sudah masuk sedikit demi sedikit ke negara kita. Dr Rozaimi Ramle

♬ original sound - DrRORA

 

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, tindakan sedemikian juga dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.

“Kita harus sedar ada golongan yang memerlukan rehat secukupnya seperti wanita dalam haid atau nifas, kanak-kanak kecil, serta ibu bapa yang mempunyai bayi.

“Malah, dalam konteks masyarakat majmuk, tindakan ini dibimbangi boleh menimbulkan rasa kurang senang atau benci dalam kalangan bukan Islam terhadap agama kita,” katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan bahawa Islam tidak menganjurkan sesuatu amalan sehingga menjejaskan ketenteraman orang lain.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka dan tidak mengangkat budaya yang berpotensi mencetuskan gangguan atau salah faham terhadap agama. Beliau berharap amalan tersebut tidak diteruskan demi menjaga keharmonian serta kesejahteraan bersama sepanjang Ramadan.

Sumber: TikTok @drrozaimiramle

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda