Foto: Threads
Pemergian Amirrulmukminin Mohd Zain, 27, mengundang rasa pilu orang ramai apabila Allahyarham yang merupakan pengikrar pendermaan organ menerima penghormatan terakhir daripada warga Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Detik penuh emosi itu tular di media sosial dan menyentuh hati ramai.
Advertisement
Kronologi Kemalangan
Allahyarham terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Plaza Tol Kijal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya pada Jumaat lalu. Pemuda yang bekerja sebagai penyelia pembinaan itu kemudiannya disahkan mengalami kematian otak.
Menurut ahli keluarga, Allahyarham telah menderma beberapa organ dan tisu termasuk mata, jantung, buah pinggang, ginjal, tisu kulit serta tulang paha dan tulang betis. Pendermaan tersebut memberi peluang hidup baharu kepada pesakit lain yang memerlukan dan dianggap sebagai satu amanat yang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
Rakaman ibu bapa Allahyarham mengiringi jasad anak mereka sebelum pembedahan pendermaan organ dijalankan menjadi tular. Petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ dilihat berdiri memberi penghormatan terakhir dalam suasana hiba.
“Suasana hiba seketika di Unit Rawatan Rapi. Perginya asbab kemalangan dan masih muda. Niat untuk pulang ke Kelantan dari tempat kerja, namun perjalanan hidupnya telah ditentukan Allah.
“Allahyarham merupakan pengikrar semasa hayatnya dan keluarga telah menunaikan amanat serta tanggungjawab tersebut.
“Reda bukan sesuatu yang mudah. Kekuatan seorang ayah yang mampu mengiringi jasad anaknya dalam perjalanan terakhir sebelum pembedahan pendermaan organ sangat menyentuh hati.
“Satu penghormatan daripada kami warga HSNZ buat Allahyarham. Perginya membawa sinar untuk mereka yang masih hidup. Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga ini. Al-Fatihah,” kongsinya.
Abang ipar Allahyarham turut meluahkan rasa bangga terhadap keberanian dan keikhlasan arwah serta keluarga yang menunaikan hasrat tersebut.
“Perginya arwah memberi harapan kepada mereka yang masih berpeluang meneruskan kehidupan melalui pendermaan organ. Kami sekeluarga amat bangga dengan keikhlasan dan pengorbanan arwah,” katanya.
@insnftha__ Selamat Jalan Amirrulmukminin Bin Mohd Zain ✨ Selesai sudah urusan awak didunia ni dan awak pergi dengan cara yang mulia sebagai penderma organ yang mungkin tak semua berpeluang untuk buat. Meninggal di hari jumaat yang mulia Allah memang sayangkan awak sangat sangat ☺️ Awak seorang kawan, keluarga yang baik, kami cuba untuk redha dengan pemergian awak semoga awak tenang disana bersama mak awak ya ✨
♬ original sound - apwan
Hukum Derma Organ Dalam Islam
Dalam Islam, pendermaan organ adalah harus dan dibenarkan selagi memenuhi syarat tertentu.
Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pendermaan organ bertujuan menyelamatkan nyawa dan termasuk dalam amalan kebajikan yang besar pahalanya. Prinsip ini selari dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya membantu sesama manusia dan menyelamatkan nyawa.
Menjaga Kesihatan Sebagai Amanah
Islam turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan sepanjang hayat kerana jasad manusia merupakan amanah daripada Allah. Setiap individu dituntut menjaga keselamatan diri dan mengelakkan kemudaratan kerana tubuh badan akan dipersoalkan di akhirat.
Pendermaan organ hanya dibenarkan apabila tidak memudaratkan penderma semasa hidup atau dilakukan selepas kematian dengan keizinan dan niat yang ikhlas.
Maklumat Pendermaan Organ
Sebagai makluman, pendermaan organ boleh dilakukan dengan mendaftar sebagai pengikrar. Bagi individu berusia bawah 18 tahun, keizinan ibu bapa atau penjaga diperlukan.
Antara organ dan tisu yang boleh didermakan termasuk jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, injap jantung, kornea mata, kulit dan tulang.
Pengorbanan Allahyarham Amirrulmukminin Mohd Zain bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan petugas kesihatan, malah menjadi inspirasi bahawa walaupun jasad pergi, kebaikan dan harapan boleh terus hidup dalam diri insan lain.
Sumber: SinarPlus, Majlis Fatwa Kebangsaan