
Dengan penuh rasa dukacita, dunia Islam hari ini menerima khabar pemergian seorang tokoh yang suaranya amat dekat di hati jutaan umat Islam. Muazin Masjid An-Nabawi, Sheikh Faisal bin Abdul Malik Nauman, telah kembali ke rahmatullah pada petang ini, meninggalkan kesedihan yang mendalam khususnya buat mereka yang pernah mendengar alunan azannya di Kota Madinah.
Advertisement
Sheikh Faisal bukan sekadar seorang muazin, tetapi lambang ketenangan dan kerinduan. Setiap kali laungan azannya berkumandang dari Masjid Nabawi, masjid yang menempatkan makam Rasulullah SAW, ia bukan sahaja memanggil manusia untuk bersolat, malah menyentuh jiwa, mengingatkan tentang kebesaran Allah dan erti kehidupan.
Bagi para jemaah daripada seluruh dunia, suara Sheikh Faisal menjadi memori yang sukar dilupakan. Ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah, ada yang menziarahi berkali-kali, namun azannya tetap meninggalkan kesan yang sama kerana meremangkan bulu roma dan menenangkan hati yang sarat dengan doa.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat Masjid An-Nabawi dan umat Islam seluruhnya. Namun, jasa dan sumbangannya tidak terhenti dengan kematian. Setiap azan yang pernah dilantunkan, setiap seruan kepada solat, akan terus menjadi amal jariah yang mengalir pahalanya.
Sesungguhnya, kita semua adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Sheikh Faisal bin Abdul Malik Nauman, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah.