Skip to main content

Advertisement

Berita

PBB Salur Bantuan Makanan Kepada Hampir Sejuta Penduduk Gaza

pbb salur bantuan makanan kepada hampir sejuta penduduk gazaFoto: Reuters

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa hampir sejuta penduduk di Semenanjung Gaza telah menerima bantuan makanan sejak gencatan senjata bermula pada Oktober lalu.

Advertisement

Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP) bagi rantau Timur Tengah, Abeer Etefa, berkata bantuan itu diagihkan dalam bentuk pek makanan yang mampu menampung keperluan sebuah keluarga selama kira-kira 10 hari.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan keseluruhan 1.6 juta penduduk dapat dibantu, akses masuk ke wilayah Gaza perlu diperluas dan lebih banyak laluan sempadan mesti dibuka untuk mempercepatkan penghantaran bantuan.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, penghantaran bantuan semakin meningkat, namun hanya dua lintasan utama iaitu Kerem Shalom dan Kissufim, dibuka untuk lori bantuan. Kawasan utara Gaza pula masih berdepan kesukaran besar untuk menerima bekalan.

Setakat ini, WFP telah mengaktifkan 44 daripada 145 pusat agihan makanan yang dirancang serta mengendalikan 17 kilang roti bagi menyediakan roti segar kepada sekitar 700,000 penduduk setiap hari.

Walaupun penyaluran bantuan menunjukkan kemajuan, situasi kemanusiaan di Gaza masih membimbangkan. Ramai penduduk hanya mampu bertahan dengan makanan kering kerana kekurangan bekalan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan daging, selain harga barangan yang terus meningkat.

Agensi bantuan antarabangsa turut memberi amaran bahawa dengan musim sejuk yang semakin hampir serta banyak kawasan musnah akibat serangan, risiko banjir dan kehilangan tempat tinggal dijangka memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Sumber: Berita Harian

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda