Foto: Tangkap layar Instagram
Pelakon, Norman Hakim mengambil langkah berbeza dalam hidupnya apabila memilih untuk membangunkan sebuah surau, sebagai asas kepada impian jangka panjang mendirikan sebuah masjid.
Advertisement
Norman Hakim, atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon berkata, cetusan idea itu hadir secara tidak dirancang ketika dia berada di Jepun, hasil pengalaman spiritual yang meninggalkan kesan mendalam.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, beliau menyifatkan pembinaan surau tersebut sebagai permulaan kecil yang berlandaskan niat ikhlas.
“Segala yang besar bermula dengan langkah sederhana. Inilah permulaan kepada masjid pertama Normey,” katanya.
Menurut Norman, perancangan asal adalah untuk membina butik fizikal bagi jenama Normey. Namun, pengalaman menunaikan solat Jumaat di Sapporo mengubah sepenuhnya hala tuju tersebut.
“Ketika berdiri dalam saf solat Jumaat di Sapporo, Allah menggerakkan hati saya untuk menukar niat. Daripada membina ruang perniagaan, kepada menyediakan tempat untuk bersujud,” ujarnya.
Aktor berusia 50 tahun itu memaklumkan, surau berkenaan direka dengan enam barisan saf dan boleh menampung sekitar 100 jemaah dalam satu-satu masa.
Katanya, surau itu diharap menjadi ruang yang memberi ketenangan, kesejukan jiwa dan suasana yang mendamaikan.
“Ia bukan tentang jumlah jemaah, sebaliknya amanah yang dipikul,” katanya.
Dalam masa sama, Norman mengalu-alukan komuniti setempat termasuk qariah serta peniaga di sekitar ibu pejabat Normey untuk bersama-sama mengimarahkan solat Zuhur dan Asar secara berjemaah.
Norman bagaimanapun memaklumkan bahawa dirinya turut menyimpan hasrat untuk menghidupkan surau tersebut sepanjang Ramadan dengan penganjuran solat tarawih, doa dan ibadah malam.
“Kerana kejayaan sebenar bukan pada apa yang didirikan di bumi, tetapi apa yang menghubungkan kita dengan langit,” katanya.
Sumber: Instagram