Foto: Facebook
Pelakon veteran, Noor Kumalasari mengakui dirinya berasa selesa mengenakan hijab tidak kira di mana sahaja dia berada.
Advertisement
Katanya, pemakaian tudung sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak mula berhijrah pada usia 40 tahun.
Menurut Primadona itu, tudung bukan lagi sekadar pakaian luaran, sebaliknya sudah sebati dengan dirinya.
“Pakai tudung ni dah jadi macam daging saya, saya buat apa apa pun saya tetap bertudung,” katanya.
Malah, tabiat itu terbawa bawa sehingga ke dalam rumah apabila dia masih mengenakan tudung walaupun berada di bilik tidur.
Dia berkongsi bahawa suaminya pernah menegur perbuatannya itu.
“Sehinggakan suami saya pun tegur saya sebab pakai tudung dalam bilik tidur,” jelasnya sambil menambah bahawa perkara tersebut berlaku secara semula jadi dan bukan dibuat buat.
Noor turut menceritakan pengalaman ketika berada di rumah arwah ibunya. Walaupun sering ditegur supaya membuka tudung kerana berada di dalam rumah, dia tetap berasa selesa memakainya.
“Last last ibu saya yang pakai tudung ikut saya,” katanya sambil tersenyum.
Baginya, keindahan bertudung terletak pada rasa selesa dan kebiasaan.
“Kalau awak dah sebati, memang awak akan sentiasa pakai,” ujarnya.
Malah, dia mengakui pernah terasa janggal apabila keluar tanpa tudung sehingga terpaksa kembali memakainya sebelum meneruskan urusan.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Selamat Pagi Sayang itu turut menyampaikan pesanan kepada kaum wanita agar memahami tujuan sebenar bertudung.
Menurutnya, niat adalah perkara paling utama yang menentukan sama ada seseorang itu mampu kekal istiqamah atau sebaliknya.
“Satu benda awak kena tahu, pakai tudung kerana apa?” katanya.
Dia menegaskan bahawa pemakaian tudung tidak seharusnya dilakukan kerana pengaruh persekitaran, pasangan atau rakan rakan semata mata.
Noor percaya jika niat dilakukan dengan betul, pemakaian tudung akan kekal.
“Kalau hati pakai kerana Allah, InsyaAllah ia akan kekal sampai akhir hayat,” katanya lagi sambil menegaskan bahawa niat kerana Allah adalah kunci utama dalam berhijab.
Sumber: Gempak