
Foto: Facebook
Advertisement
Pada 4 Mei 2021, dunia menyaksikan satu keajaiban luar biasa apabila seorang wanita muda dari Mali, Halima Cisse, melakar sejarah dengan melahirkan sembilan bayi serentak, satu pencapaian yang bukan sahaja menggemparkan dunia perubatan, malah mengharukan jutaan hati di seluruh dunia. Kelahiran yang luar biasa itu mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness, menjadikan Halima sebagai ibu kepada kelahiran nonuplets pertama dunia yang kesemua bayinya berjaya diselamatkan.
Empat tahun telah berlalu, namun memori istimewa itu kekal segar dalam ingatan Halima dan suaminya, Abdelkader Arby. Pasangan itu baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila berkongsi beberapa gambar kenangan kehamilan dan kelahiran luar biasa tersebut di Instagram mereka yang mempunyai lebih 57,000 pengikut.

"Kenangan yang tidak dapat dilupakan empat tahun lalu," tulis pasangan itu, disertakan dengan koleksi gambar anak-anak mereka sejurus selepas dilahirkan dan ketika berada di dalam inkubator kecil masing-masing.
Gambar-gambar tersebut bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi simbol kekuatan, kasih sayang dan keajaiban kehidupan. Menurut pasangan ini, detik-detik awal menjadi ibu bapa kepada sembilan bayi adalah satu pengalaman yang terlalu istimewa untuk digambarkan dengan kata-kata.

Kelahiran nonuplets Halima mencetuskan fenomena antarabangsa bukan sahaja kerana jumlah bayi yang dilahirkan, tetapi kerana kejayaan menyelamatkan kesemua mereka sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Kesemua bayi, yang terdiri daripada empat lelaki Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah serta lima Perempuan iaitu Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou, dilahirkan secara pembedahan pada usia kandungan 30 minggu, iaitu kira-kira 10 minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan normal.

Berat setiap bayi ketika lahir adalah sekitar 0.5 hingga 1 kilogram, menjadikan cabaran penjagaan awal mereka amat kritikal. Namun dengan usaha pasukan perubatan, kecekalan ibu bapa serta doa tanpa putus dari seluruh dunia, kesemua bayi itu berjaya membesar sihat dan kini telah pun mencecah usia empat tahun.
Kehidupan pasangan Halima dan Abdelkader berubah sepenuhnya selepas kelahiran nonuplets tersebut. Sebelum ini, mereka sudah mempunyai seorang anak perempuan, Arby, yang kini berusia enam tahun.
Membesarkan sepuluh orang anak dalam satu rumah tentunya bukan tugas yang mudah. Namun pasangan ini melihatnya sebagai satu anugerah dan tanggungjawab besar yang diberikan Tuhan.
“Ia satu keajaiban kehidupan, kekuatan yang luar biasa dan kasih sayang yang tidak terhingga. Kami sangat bersyukur atas sejauh mana kami melangkah serta sokongan yang tidak putus-putus sejak dari awal lagi,” ujar mereka dalam hantaran di media sosial.
Empat tahun selepas detik bersejarah itu, Halima dan Abdelkader tidak hanya dikenang sebagai ibu bapa kepada sembilan bayi yang luar biasa, tetapi juga sebagai simbol harapan dan keajaiban sejati. Mereka telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil dengan kepercayaan, kasih sayang dan usaha yang tidak pernah luntur.
Sumber: AGENSI