Skip to main content

Advertisement

Berita

PU Haris Dedah Neelofa Pilih Berniqab, Rela Hilang Kontrak Jutaan Ringgit

pu haris dedah neelofa pilih berniqab, rela hilang kontrak jutaan ringgit

Foto: Instagram

Advertisement

Pendakwah bebas, PU Haris berkongsi bahawa isterinya, Neelofa, pernah menerima ujian besar apabila kontrak bernilai jutaan ringgit bersama sebuah jenama antarabangsa dibatalkan sejurus beliau memilih untuk berniqab.

Menurut Haris atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, perkara itu mengejutkan kerana beberapa tahun kemudian syarikat sama kembali menawarkan bayaran lebih lumayan selepas melihat gaya berhijab Neelofa menjadi ikutan ramai.

“Ada sebuah syarikat besar dari Perancis yang menjual produk penjagaan wajah. Mereka kata, ‘Neelofa sudah berniqab, jadi kami kena fikir semula sama ada mahu teruskan atau tidak.’ Akhirnya, kontrak jutaan ringgit itu dibatalkan.

“Kalau saya, mungkin saya akan cuba pujuk untuk kekalkan projek tersebut. Tapi Neelofa tidak begitu. Dia teruskan pilihan berniqab walaupun kehilangan kontrak. Bila gaya pemakaian itu menjadi trend dan ramai yang ikut, jualan produk pun meningkat.

“Beberapa tahun kemudian, syarikat sama datang semula dengan tawaran berganda-ganda lebih besar, siap merayu Neelofa untuk menjadi duta mereka,” katanya dalam sebuah video tular baru-baru ini.

Kisah penghijrahan Neelofa yang mula berniqab sekitar tahun 2020 itu diceritakan PU Haris dalam sebuah majlis ilmu di Tawau, Sabah.

Menurutnya, pengalaman itu membuktikan bahawa wanita muslimah tidak perlu ragu-ragu untuk menutup aurat sepenuhnya kerana rezeki tetap datang dengan cara yang tidak disangka.

Meninjau ruang komen, ramai netizen mengakui terinspirasi dengan pendirian selebriti dan usahawan itu yang kekal istiqamah meskipun berdepan ujian.

“Tinggalkan sesuatu kerana Allah, pasti Allah gantikan dengan lebih baik,” tulis seorang pengguna.

“Sebak dengar kisah penghijrahan Neelofa. Moga kita semua dipilih menjadi wanita solehah dan menutup aurat dengan sempurna,” kata seorang lagi.

Untuk rekod, Neelofa mula mengenakan niqab pada tahun 2020, setahun sebelum berkahwin dengan PU Haris pada Mac 2021. Kini, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: TikTok

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda