Skip to main content

Advertisement

Berita

Tinggalkan Era ‘Kemasyhuran’ Bukan Hal Kecil, Neelofa Akui Ramai Boleh Tertekan - “Kalau Terlalu Mengejar Dunia, Tekanan Akan Datang…”

tinggalkan era ‘kemasyhuran’ bukan hal kecil, neelofa akui ramai boleh tertekan - “kalau terlalu mengejar dunia, tekanan akan datang…”Foto: Instagram

Figura terkenal tanah air, Neelofa, mengakui perubahan drastik daripada kehidupan penuh sorotan kepada rutin sebagai isteri bukan sesuatu yang boleh dilalui dengan mudah, apatah lagi ketika berada di puncak populariti.

Advertisement

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, sebelum dunia dilanda pandemik pada 2020, jadual kerjayanya begitu padat sehingga kerap menghadiri acara berprestij di luar negara.

Malah, beliau pernah merancang untuk menyewa kediaman di Paris dan membeli rumah di Indonesia susulan perkembangan agensinya di sana.

Namun selepas mendirikan rumah tangga, beliau memilih untuk memperlahankan langkah dalam dunia seni. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal perkahwinannya dimanfaatkan dengan menghadiri sesi pengajian agama bersama suami.

Jelasnya, fasa tersebut memberi ruang untuk menilai semula erti kemasyhuran dan kehidupan. Katanya, tidak semua individu mampu menerima perubahan mendadak kerana ada yang berdepan tekanan emosi dan sukar melepaskan gaya hidup lama.

“Kebanyakan orang boleh jadi depresi dan susah untuk terima hakikat bila tinggalkan dunia glamor. Tetapi waktu awal perkahwinan, ketika belum ada anak dan komitmen besar lain, kami banyak luangkan masa dengan taklim serta mendalami hadis berkaitan kemasyhuran.

“Daripada situ, persepsi saya berubah. Saya belajar untuk lepaskan dengan cara yang baik. Apa yang mengisi fikiran hanyalah pesanan Nabi dan apa yang Allah rakamkan dalam al-Quran,” katanya dalam satu audio siar.

Bekas pengacara program MeleTOP itu turut berkongsi bahawa ketenangan sebenar bukan terletak pada kemewahan atau kestabilan material semata mata.

Menurutnya, ramai menyangka hidup yang tenang memerlukan wang mencukupi, rumah besar dan tiada masalah. Hakikatnya, ketenangan hadir apabila seseorang meletakkan Tuhan sebagai asas dalam setiap urusan kehidupan.

“Kalau Allah tidak ada dalam persamaan hidup, memang akan jadi huru hara, anxiety dan depresi. Selepas berkahwin, walaupun kurang berada di bawah limelight, hidup saya jauh lebih damai,” ujarnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menegaskan keperluan mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat agar kehidupan tidak menjadi serabut.

“Kalau terlalu mengejar dunia, tekanan akan datang. Bila dunia dan akhirat diseimbangkan, insya-Allah semuanya akan okey,” katanya lagi.

Terdahulu, Neelofa antara selebriti tempatan yang sering menjadi wajah jenama mewah dan mengembara ke pelbagai negara untuk menghadiri pertunjukan fesyen antarabangsa.

Pada Oktober 2020, beliau membuat keputusan untuk tampil berniqab sepenuhnya sebelum mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz pada 27 Mac 2021.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Bilal dan Abbas, yang kini masing masing berusia empat dan tiga tahun.

Sumber: HibGlam

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda