
“Allah sayang”
Advertisement
Itulah perkataan yang sering terbit dari mulut Ustaz Ebit Lew setiap kali beliau menyampaikan nasihat. Lemah lembut tuturnya dan sikapnya yang sentiasa berhemah membuatkan ramai yang terkesan dengan pesanan yang disampaikan. Biarpun kini lebih dikenali , namun beliau tetap meneruskan kerja-kerja dakwahnya di jalanan.
Baru-baru ini, kami berpeluang untuk bertemu sendiri dengan pendakwah ini. Dengan kesempatan yang ada, kami bertanya kepada ustaz akan nasihat beliau kepada selebriti yang memilih untuk kembali seperti zaman sebelum berhijrah.
“Jangan pernah korbankan kebaikan kerana kesalahan. Contohnya, jika kita suka sesuatu, jangan sampai kita korbankan orang yang kita sayang seperti mak dan ayah kita. Jadi, jangan kerana kita sukakan kita sanggup korbankan perkara yang paling penting iaitu agama.”
Ustaz Ebit juga menitip pesanan buat mereka yang mempunyai nikmat pengaruh yang besar serta ramai pengikut untuk terus menyampaikan benda yang baik biarpun belum sempurna. Katanya, teruskan membuatkan kebaikan sehingga kebaikan itu mampu menarik kejahatan.
“Masyarakat suka apabila artis atau selebriti kesayangan mereka membuat kebaikan. Jadi, kepada mereka ini, teruskan membuat kebaikan dan sampaikan pesanan. Bayangkan, jika kerana kebaikan yang kita buat atau sampaikan, dan ada masyarakat yang ikut, pahala itu akan berterusan sehingga ke akhirat.” Nasihatnya dengan penuh lemah lembut.
“Kita semua hidup untuk Allah sayang. Jadi, dalam buat baik ni dia ada ujian, kata-kata orang dan sebagainya dan kita hidup untuk Allah sayang. Sentiasa, ustaz ssaya elalu pesan, buat baik, terus buat kebaikan. Walaupun kita masih jahat. Sehingga kebaikan tarik kejahatan.” Katanya lagi.
Buat masyarakat pula, Ustaz Ebit berpesan supaya jangan membenci atau mencaci artis mahupun selebriti kesayangan mereka melakukan kesilapan kerana mereka juga manusia biasa. Berikan mereka dorongan dan doakan mereka kembali istiqamah.
“Kita semua menuju perkara yang sama iaitu redha Allah swt.” Ujar Ustaz Ebit lagi.
Oleh: Azwar Kamaruzaman