Foto: Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sesekali berhenti memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah berdekad-dekad lamanya hidup di bawah penjajahan. Beliau berkata, usaha itu akan terus diperkasakan, termasuk dengan meyakinkan negara-negara luar agar tidak luntur sokongan terhadap perjuangan Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan keadilan.
Advertisement
Menurut Anwar, beliau mengakui kadangkala berasa letih dan hampir berputus asa dalam mendepani cabaran perjuangan itu, namun hal tersebut tidak akan melemahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau tetap menjadikan isu Palestin sebagai agenda utama yang dibawa setiap kali bertemu dengan pemimpin antarabangsa.
“Saya gunakan segala ruang dan kuasa yang ada pada saya untuk menyuarakan isu Palestin. Sama ada dengan pemimpin Islam, Jepun, China atau India, ke mana sahaja saya pergi, saya tidak pernah melupakan saudara kita di Gaza dan Palestin. Saya terus merayu, mendesak dan mengingatkan dunia tentang kezaliman yang berlaku.
“Memang benar ia satu ujian besar, bukan sahaja untuk Gaza dan Palestin, malah untuk umat Islam dan seluruh manusia yang cintakan keadilan. Namun kita tidak boleh berundur. Walaupun kadangkala terasa melelahkan, mengecewakan dan seakan tiada harapan, kita tetap harus percaya kepada Allah dan meneruskan langkah dalam perjuangan ini,” katanya penuh bersemangat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, sempena Karnival Sumud Nusantara yang berlangsung di Dataran Merdeka malam ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Program yang dihadiri hampir 100,000 orang itu turut menyaksikan Perdana Menteri menyempurnakan upacara pelepasan Delegasi Sumud Nusantara untuk Flotila Gaza, yang dijadualkan bertolak pada 31 Ogos ini bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan terus ke Gaza.
Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Coalition of Global Movements (CGM) merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Dataran Merdeka.
Antara pengisian utama pada malam tersebut ialah solat hajat perdana yang diimamkan Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki, bacaan Qunut Nazilah serta persembahan qasidah khas yang memberi penghayatan mendalam kepada para hadirin mengenai penderitaan rakyat Palestin dan semangat solidariti yang tidak pernah pudar.
Karnival ini bukan sahaja menjadi manifestasi sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, malah memperlihatkan kesungguhan kepimpinan negara untuk terus menegakkan keadilan di pentas dunia, meskipun berdepan cabaran dan tekanan daripada pelbagai pihak.
Sumber: Bernama