Kemarau emas yang melanda kem Malaysia sejak 2 hari yang lalu akhirnya berakhir apabila pasukan Malaysia menewaskan India 3-1 dalam acara Badminton Berpasukan Campuran yang berlaku sebentar tadi. Dengan pencapaian terbaru ini, Malaysia sudah "separuh jalan" dalam mencapai sasaran 6 emas yang ditetapkan sebelum ini.

Malaysia meraih mata pertama menerusi gandingan Soh Wooi Yik dan Aaron Chia apabila mereka menewaskan pasangan Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty 21-18, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 30 minit. Namun perjalanan Malaysia dalam final kali ini bukanlah sesuatu yang mudah apabila India menyamakan kedudukan menerusi Pusarla Sindhu yang menewaskan Goh Jin Wei 22-20, 21-17 dalam satu perlawanan yang berlangsung penuh dramatik.
Advertisement
Malaysia kembali berada di depan apabila Ng Tze Yong melakukan kejutan dengan menewaskan Srikanth Kidambi 21-19, 6-21, 21-16. Kemenangan ini telah memberikan suntikan moral yang besar kepada kem Malaysia kerana Ng Tze Yong dianggap sebagai pemain 'underdog' bertemu pemain perseorangan utama India.

Mata emas Malaysia akhirnya hadir menerusi Pearly Tan dan Thinaah M apabila mereka menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Puella 21-18, 21-17. Pencapaian ini bermakna Malaysia akhirnya berjaya menumpaskan India selaku juara bertahan setelah bertemu dalam 5 perlawanan final berturut-turut.