Skip to main content

Advertisement

Berita

"Malaysia Kecam Serangan Israel, Desak Aktivis Misi FFC Dibebaskan Segera..."– PM Anwar

malaysia kecam serangan israel, desak aktivis misi ffc dibebaskan segera – pm anwarFoto: Astro AWANI

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif rejim Zionis Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa.

Advertisement

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan Israel itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan rejim tersebut.

⁠“Menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza bukan sahaja kejam, tetapi turut mencabuli prinsip asas hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat.

“⁠Saya menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera, diberi perlindungan sewajarnya serta tidak dicederakan sepanjang tempoh tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar menegaskan, Kerajaan MADANI akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan terpelihara.

Beliau turut memaklumkan kerajaan akan berhubung dengan negara-negara sahabat serta pertubuhan antarabangsa bagi mempercepat proses pembebasan mereka.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sembilan kapal misi kemanusiaan FFC dan TMTG diserbu oleh tentera Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.

Menurut Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), seramai lapan wakil Malaysia berada di atas kapal utama, Conscience, manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad.

Kesemua mereka menyertai misi kemanusiaan tersebut bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza selain mengumpul bukti pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Zionis.

Sumber: Astro AWANI

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda