
Foto: Threads (muhdshidiqqien)
Advertisement
Jika anda pernah ke Masjid Nabawi, mesti akan perasan ada Al-Quran yang mempunyai warna tali penanda yang berbeza, ada yang berwarna kuning dan ada pula yang berwarna hitam. Ramai sangka ia sekadar hiasan atau penanda biasa, sedangkan sebenarnya warna tali tersebut menunjukkan jenis rasm atau kaedah penulisan Al-Quran yang digunakan.
Tali kuning menandakan Al-Quran tersebut menggunakan Rasm Uthmani, manakala tali hitam pula merujuk kepada Rasm Majid.
Walaupun kedua-duanya adalah Al-Quran yang sama daripada segi ayat dan makna, terdapat sedikit perbezaan pada cara penulisan dan penandaan bacaan.

Sebagai contoh, dalam Surah Al-Baqarah ayat 180, terdapat perbezaan kecil antara kedua-dua rasm ini. Dalam Rasm Uthmani, ayat tersebut tidak mempunyai huruf ن kecil (nun kecil) pada satu perkataan tertentu, manakala dalam Rasm Majid, huruf nun kecil itu ditulis sebagai panduan bacaan. Ini hanyalah salah satu contoh kerana sebenarnya terdapat beberapa lagi perbezaan dari segi tanda bacaan, tanda waqaf serta gaya tulisan huruf. Namun begitu, semua perbezaan ini tidak mengubah maksud ayat atau hukum bacaan Al-Quran itu sendiri.
Persoalannya, bolehkah kita membaca kedua-dua rasm ini? Jawapannya, boleh.
Kedua-duanya sah dan digunakan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Cuma dari segi standard penggunaan, Malaysia dan kebanyakan negara lain telah menetapkan Rasm Uthmani sebagai rasm rasmi kerana ia menggunakan tulisan Arab moden yang lebih mudah dibaca dan sesuai untuk pembelajaran.
Rasm Majid pula masih mengekalkan khat Arab lama dengan tulisan yang lebih tebal dan padat, sebab itu ia lebih sinonim dengan Al-Quran cetakan lama yang digunakan oleh generasi terdahulu. Mungkin sebab itulah ramai antara kita yang belajar mengaji sejak kecil dahulu bermula dengan Al-Quran Rasm Majid. Apa pun rasm yang digunakan, hakikatnya Al-Quran tetap satu, kalam Allah tetap terpelihara dan perbezaan ini hanyalah pada cara penulisan, bukan pada isi atau kebenaran ayatnya.
Sumber: Threads (muhdshidiqqien)