Skip to main content

Advertisement

Berita

“Rakyat Malaysia Pentingkan Akhlak, Itu Keindahan Sebenar…” - Maher Zain

“rakyat malaysia pentingkan akhlak, itu keindahan sebenar…” - maher zainFoto: Instagram

Saban kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, rakyat Malaysia tidak pernah terlepas untuk berkumpul di Dataran Merdeka, sekitar KLCC atau lokasi ikonik lain bagi menyaksikan percikan bunga api. Ada juga yang memilih meraikan dengan lebih santai di rumah, malah sebahagian mencari kelainan dengan menghadiri konsert malam merdeka.

Advertisement

Tahun ini, kehangatan sambutan lebih bermakna apabila penyanyi antarabangsa, Maher Zain, kembali ke Malaysia selepas enam tahun menerusi konsert The Journey to the Far East: Maher Zain – The Live Experience.

Bertempat di Idea Live Arena, Damansara, konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah bersama Hitman Solutions dan Happymoon itu berjaya menarik lebih 5,000 penonton pelbagai lapisan usia.

Tepat jam 8.30 malam, sorakan bergema apabila penyanyi berketurunan Sweden-Lubnan itu membuka persembahan dengan lagu popular Assalamu Alayka. Selain mengalunkan deretan hits, Maher turut ramah menyapa peminat, menzahirkan betapa dekatnya hatinya dengan bumi Malaysia.

Menurut Maher, apa yang membuatkan beliau semakin menyenangi negara ini ialah nilai akhlak dan sikap saling menghormati yang masih utuh diamalkan masyarakat tempatan.

⁠“Saya sukakan Malaysia kerana rakyatnya begitu menitikberatkan akhlak. Itu satu keindahan yang luar biasa. Misalnya, kalau mahu berjalan di depan seseorang, mereka akan tunduk tanda hormat,” katanya yang disambut tepukan gemuruh penonton.

Maher, 44, turut memuji konsistensi Malaysia dalam memperjuangkan hak Palestin, malah menganggap semangat itu wajar dijadikan contoh kepada negara lain.

“Kita perlukan lebih ramai pemimpin dan rakyat seperti Malaysia yang berani menegakkan keadilan serta menentang penindasan, terutama terhadap Palestin,” ujarnya.

Sepanjang hampir dua jam, pentas konsert diserikan dengan lagu-lagu popular seperti InshaAllah, Alayka Salla Allah, Baraka Allahu Lakuma, Close To You serta For The Rest of My Life. Tidak ketinggalan, Maher turut menyanyikan versi bahasa Melayu lagu tersebut walaupun mengakui sempat terlupa beberapa lirik.

“Saya hanya tahu beberapa perkataan asas, jadi saya gunakan bantuan iPad di atas pentas. Harap sebutan saya tidak terlalu janggal,” katanya berseloroh kepada media selepas konsert.

Mengulas perkembangan terbarunya, Maher memaklumkan sedang dalam proses menghasilkan album baharu, namun masih belum bersedia berkongsi butiran lanjut. Apa yang pasti, beliau mahu karya-karya berunsur ketuhanan yang dihasilkan mampu membuka minda masyarakat Barat untuk lebih memahami Islam.

⁠“Inspirasi terbesar saya adalah Islam. Saya sering menulis lagu tentang Rasulullah SAW, insan paling mulia.

"Di Barat, masih wujud kebencian dan salah faham terhadap umat Islam, terutama wanita berhijab. Jadi, melalui lagu saya cuba mengingatkan mereka supaya berbangga dengan identiti Muslim, berjalan dengan yakin dan tampil sebagai insan yang kuat,” jelasnya.

Sumber: HIbGlam

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda