
Foto: Facebook
Advertisement
Semua lelaki Muslim termasuk individu yang terbabit dalam bidang fesyen diingatkan agar menghentikan sebarang bentuk pemakaian dan perlakuan yang menyerupai wanita kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa dalam Islam, lelaki diberikan tanggungjawab sebagai qawwam iaitu pemimpin dalam keluarga dan masyarakat, justeru peniruan terhadap gaya wanita adalah sesuatu yang bercanggah dengan nilai agama.
Beliau berkata hadis Nabi juga menjelaskan bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia akan dianggap sebahagian daripada kaum itu. Justeru, penegasan ini penting agar lelaki Muslim tidak menzahirkan perlakuan atau penampilan menyerupai wanita.
Katanya, teguran seumpama ini pernah disuarakan sebelum ini oleh pihak berkuasa agama susulan kebimbangan terhadap segelintir lelaki Islam yang mengenakan pakaian wanita.
“Kita mahu nilai yang terkandung dalam al-Quran diterapkan dalam kalangan lelaki Muslim di negara ini. Kalau pendekatan fesyen cuba menyerupai wanita dengan lenggok atau gaya yang keperempuanan, maka bagaimana kita nak bawa nilai qawwam itu?
“Kita tekankan semula, mereka yang terlibat perlu menghentikan perkara ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai agama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) 2025 di Putrajaya pada Khamis.
Kenyataan beliau hadir susulan rasa kurang senang orang awam termasuk pengguna media sosial terhadap tindakan segelintir lelaki berpakaian seperti wanita ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini.
Mohd Na’im menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan garis panduan khusus untuk penganjur dan penggiat fesyen yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, agensi agama seperti JAKIM juga sentiasa mengadakan perbincangan dengan kementerian lain termasuk Kementerian Komunikasi bagi memastikan setiap acara mematuhi garis panduan berkenaan kerana tujuan utama adalah untuk memastikan umat Islam tidak menyimpang daripada ajaran agama.
Sumber: Gempak