Skip to main content

Advertisement

Berita

Dunia Diplomasi Berkabung! Leila Shahid, Wanita Pertama Jadi Duta Palestin, Meninggal Dunia Pada Usia 76 Tahun

dunia diplomasi berkabung! leila shahid, wanita pertama jadi duta palestin, meninggal dunia pada usia 76 tahun

Dunia diplomasi Palestin hari ini kehilangan satu nama besar yang cukup disegani. Leila Shahid, diplomat wanita pertama Palestin yang menjadi wajah perjuangan negara itu di pentas Eropah, dilaporkan meninggal dunia di Perancis pada usia 76 tahun.

Advertisement

Berita pemergian beliau disahkan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menyifatkan Allahyarham sebagai “model diplomasi yang berpegang teguh kepada nilai kebebasan, keadilan dan keamanan.” Malah menurut beliau lagi, Leila kekal setia memperjuangkan nasib rakyat Palestin hingga ke akhir hayat.

Dilahirkan di Beirut pada tahun 1949, setahun selepas tercetusnya perang susulan penubuhan negara Israel, kehidupan Leila sejak awal sudah dibentuk oleh realiti konflik Asia Barat. Ibu bapanya berasal dari Baitulmaqdis dan kawasan yang kini menjadi utara Israel, antara wilayah yang menyaksikan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin ketika itu.

Sebelum bergelar diplomat, Leila terlebih dahulu terlibat secara langsung membantu komuniti di kem-kem pelarian Palestin. Jiwa aktivisnya jelas terserlah sejak muda.

Pada 1970-an, beliau berhijrah ke Paris untuk melanjutkan pengajian kedoktoran dalam bidang antropologi. Tidak lama kemudian, pada 1976, beliau dipilih sebagai ketua kesatuan pelajar Palestin di Perancis  yang menjadi satu petanda awal bahawa kepimpinannya diiktiraf.

Namun, semangat juangnya benar-benar terserlah apabila beliau kembali ke Beirut ketika tragedi pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila pada 1982, insiden yang meragut ratusan nyawa pelarian Palestin.

Tahun 1989 menjadi detik bersejarah apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) melantiknya sebagai duta ke Ireland yang menjadikan beliau wanita Palestin pertama memegang jawatan tersebut. Setahun kemudian, beliau ditempatkan di Belanda.

Karier diplomatiknya terus berkembang apabila berkhidmat sebagai wakil Palestin ke Perancis dari 1993 hingga 2005, tempoh yang menyaksikan kemuncak proses damai dan tercetusnya intifada kedua pada tahun 2000.

Leila turut berada di sisi pemimpin Palestin, Yasser Arafat, pada hari-hari terakhir sebelum Arafat menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital tentera Perancis pada 2004 yang menjadi satu detik bersejarah yang turut mencatat namanya dalam perjalanan politik Palestin.

dunia diplomasi berkabung! leila shahid, wanita pertama jadi duta palestin, meninggal dunia pada usia 76 tahun

Dari 2006 hingga 2014, beliau terus menggalas tanggungjawab sebagai wakil Palestin ke Kesatuan Eropah, Belgium dan Luxembourg. Dalam tempoh ini, beliau menjadi suara penting Palestin di pentas antarabangsa, memperjuangkan hak dan pengiktirafan negara tersebut.

Bukan sekadar diplomat, Leila juga merupakan pengarah lama jurnal berbahasa Perancis, ‘The Review of Palestinian Studies’, yang memfokuskan sejarah serta dinamika konflik Palestin.

Pemergian Leila Shahid bukan sekadar kehilangan seorang diplomat, tetapi simbol wanita yang memecahkan dominasi lelaki dalam dunia diplomasi Palestin. Namanya kekal sebagai ikon keteguhan, keberanian dan komitmen terhadap perjuangan bangsanya.

Al-Fatihah dan takziah buat keluarga serta rakyat Palestin atas kehilangan tokoh yang cukup hebat ini.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda