
Foto: JAKIM
Advertisement
Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna, bukan sahaja membimbing manusia dalam urusan ibadah, malah turut memberi panduan dalam soal penampilan serta identiti diri. Antara perkara yang ditekankan ialah larangan lelaki menyerupai wanita, begitu juga wanita menyerupai lelaki, sama ada melalui pakaian, perhiasan mahupun tingkah laku.
Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan setiap insan dikurniakan fitrah serta peranan yang berbeza. Lelaki diciptakan sebagai lelaki, manakala wanita diciptakan sebagai wanita, masing-masing mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri. Sunnatullah ini adalah ketetapan yang penuh hikmah. Dengan itu, Islam melarang perbuatan yang cuba mengubah atau menyerupai jantina lain, kerana ia seolah-olah menolak aturan yang telah ditentukan oleh Pencipta.
Rasulullah SAW menegaskan larangan bagi lelaki memakai perhiasan atau pakaian yang dikhususkan untuk wanita dan begitu juga sebaliknya. Hal ini kerana pakaian bukan sekadar menutup tubuh, tetapi juga mencerminkan identiti dan maruah seseorang. Jika batas ini diabaikan, ia boleh membawa kepada kekeliruan dalam masyarakat serta menjejaskan kehormatan diri.

Foto Hiasan
Larangan menyerupai jantina lain bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan, sebaliknya ia mengandungi hikmah yang mendalam untuk menjaga identiti dan maruah agar tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat tentang peranan lelaki dan wanita.Selain itu, untuk menghormati fitrah ciptaan Allah kerana setiap jantina memiliki peranan unik yang saling melengkapi dan mencegah kerosakan sosial kerana penyerupaan melampau boleh menimbulkan budaya songsang yang bertentangan dengan syariat.
Islam adalah agama yang meraikan keindahan fitrah manusia. Lelaki hendaklah bangga dengan kelelakiannya, manakala wanita seharusnya berasa mulia dengan kewanitaannya. Dengan menjaga batas pakaian, perhiasan dan tingkah laku, umat Islam bukan sahaja memelihara identiti diri, malah menghormati sunnatullah yang penuh hikmah. Sesungguhnya, setiap aturan Allah SWT itu membawa rahmat dan kebaikan kepada manusia seluruhnya.
Sumber: X (@MyJAKIM)