Foto: Tangkap layar video
Kehadiran bulan Ramadan sentiasa dinanti umat Islam kerana ia membawa pelbagai keberkatan dan ganjaran rohani. Ibadah puasa yang dilaksanakan sepanjang bulan ini juga merupakan tuntutan wajib kepada setiap Muslim yang memenuhi syarat.
Advertisement
Di peringkat global, sambutan Ramadan diraikan dengan cara berbeza mengikut latar budaya dan tradisi masyarakat setempat.
Ada negara yang memeriahkannya dengan bazar, hiasan cahaya dan aktiviti kebajikan, manakala di sesetengah tempat lain, fokus lebih diberikan kepada ibadah serta masa bersama keluarga.
Di London, suasana Ramadan turut diraikan dengan penuh simbolik apabila hiasan lampu khas kembali menghiasi jalan utama bandar itu buat tahun keempat berturut-turut.
Hiasan tersebut dipasang di kawasan West End, tepatnya di Coventry Street berhampiran Piccadilly Circus, menjadikan lokasi berkenaan tumpuan orang ramai termasuk pelancong.
@ibadah.london LONDON 2025 - 48 hours until Ramadan! #ramadan #ramadan2025 #muslim #islam #islamic #ramadandecor #london #2025 ♬ Rahmatun Lil'Alameen - Maher Zain
Perkara itu dikongsikan menerusi video oleh akaun TikTok @ibadah.london yang memaparkan lampu berukir ucapan ‘Happy Ramadan’ menerangi kawasan sekitar.
Walaupun hiasan tersebut sudah jelas kelihatan pada waktu siang, suasana pada waktu malam lebih mencuri perhatian apabila cahaya lampu menyinari jalanan dan mengubah persekitaran menjadi lebih hidup dan berseri.
Selain paparan ucapan, reka bentuk lampu turut menampilkan elemen yang sinonim dengan Islam seperti bulan sabit, bintang serta corak hiasan lain yang melambangkan keindahan bulan Ramadan.
Orang ramai dilihat berhenti dan berkumpul untuk menyaksikan hiasan tersebut, dengan kebanyakan mereka teruja serta menghargai usaha menjadikan Ramadan sebahagian daripada landskap bandar London.
“30 hari lagi menuju Ramadan 2026,” tulis @ibadah.london dalam kapsyen perkongsian berkenaan.
Menurut laporan portal Timeout, walaupun tiada acara rasmi bagi penyalaan lampu tersebut, hiasan Ramadan itu akan dinyalakan setiap hari bermula jam 5 petang hingga 5 pagi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, dari 18 Februari hingga 24 Mac 2026.
Selepas berakhirnya Ramadan pada 18 Mac, paparan ucapan pada lampu-lampu berkenaan akan ditukar kepada ‘Happy Eid’ bagi menyambut Aidilfitri, sekali gus menambah kemeriahan suasana perayaan di kota London.
Sumber: TikTok @ibadah.london, Timeout