
Kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, bakal mengadakan sebuah konsert istimewa yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan solidariti antarabangsa apabila memilih tema Palestin sebagai teras utama persembahan mereka kali ini.
Advertisement
Menerusi sidang media yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna, anggota Inteam berkongsi bahawa konsert sempena 25 Tahun Inteam – Nur Kasih bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya platform untuk menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin serta isu kemanusiaan sejagat.
Menurut mereka, muzik nasyid bukan hanya medium dakwah, tetapi juga bahasa sejagat yang mampu menyentuh hati, menyatukan emosi dan membangkitkan kesedaran. Justeru, pemilihan tema ini dilihat selari dengan perjuangan dan nilai yang sentiasa dibawa oleh Inteam sejak penubuhan mereka.
“Tema kita pun kemanusiaan, warna-warna Palestin, kalau tema warna malam tu hitam, putih dan juga merah, hijau. Warna Palestin punya bendera jadi konsep utama memang kemanusiaan. Kali ini kami lebih matang dalam pemilihan lagu dan mesej yang nak disampaikan”
Konsert yang dijadualkan bakal berlangsung pada Ahad, 1 Februari 2026 jam 8.30 malam di Axiata Arena Bukit Jalil memang dinantikan oleh peminat yang terlepas peluang untuk menyaksikan Inteam di konsert terdahulu.

“Mungkin kami akan bawakan lebih banyak elemen-elemen baru. Konsert terdahulu kami, Kasih-Kekasih lebih kepada cinta, memori dan nostalgia kita ketengahkan tapi kali ini kita ada pengkhususan elemen baharu.”
Lebih istimewa, konsert ini diraikan bersempena perjalanan seni Inteam selama 25 tahun dalam industri muzik nasyid tanah air, menjanjikan persembahan penuh emosi, nostalgia serta mesej kasih sayang dan kemanusiaan yang mendalam.
Diharapkan konsert ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi titik kebangkitan kesedaran masyarakat untuk terus peduli, berdoa dan menyokong usaha kemanusiaan di seluruh dunia.