Skip to main content

Advertisement

Berita

Jejak Dosa Digital: Tulisan Kita Akan Terus ‘Hidup’ Walau Tuan Badan Sudah Tiada

jejak dosa digital: tulisan kita akan terus ‘hidup’  walau tuan badan sudah tiada

Foto Hiasan

Advertisement

Di hujung jari kita hari ini ada satu kuasa luar biasa iaitu kuasa untuk menaip, menyebar dan mempengaruhi. Namun ramai terlupa, setiap patah perkataan yang dilepaskan ke media sosial bukan sekadar teks kosong. Ia boleh menjadi pahala yang mengalir, atau dosa yang terus bernafas tanpa henti.

Bayangkan, satu komen yang kita tulis ketika marah lalu mengumpat tentang seseorang, menyebar cerita yang belum pasti atau menokok tambah fitnah terus dibaca orang lain berhari-hari, berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Ketika kita sudah menutup mata untuk tidur, tulisan itu masih berlegar. Ketika kita sudah melupakan insiden tersebut, dosa daripadanya mungkin masih berjalan.

Inilah realiti zaman digital. Dahulu, kata-kata hanya berlegar di ruang kecil dan habis di situ sahaja. Hari ini, satu hantaran boleh dikongsi ribuan kali, disalin ke pelbagai platform, disimpan sebagai tangkap layar. Ia seolah-olah menjadi ‘harta pusaka’ yang kita tinggalkan, malangnya bukan pahala, tetapi menjadi beban di akhirat.

Lebih menakutkan, selepas kita meninggal dunia pun, jejak digital itu tidak terkubur bersama jasad. Akaun mungkin masih wujud, status masih dibaca dan setiap orang yang terpengaruh dengan keburukan tulisan kita menyumbang kepada pertambahan dosa berantai.

Sebab itu ulama sering mengingatkan, lidah dan jari sama bahayanya. Jika mulut perlu dijaga daripada mengumpat, jari juga wajib dijaga daripada menaip perkara yang sama. Media sosial bukan diari peribadi sebaliknya ia pentas terbuka yang disaksikan manusia dan juga dicatat oleh malaikat.

jejak dosa digital: tulisan kita akan terus ‘hidup’  walau tuan badan sudah tiada

Foto Hiasan

Sebelum menekan butang ‘hantar’, tanyalah diri:

Adakah ini fakta atau sekadar sangkaan?

Adakah tulisan ini menyelamatkan maruah atau merobeknya?

Adakah aku sanggup menanggung dosanya bertahun-tahun?

Gunakan ruang digital untuk menyebarkan kebaikan, nasihat yang membina, ilmu yang bermanfaat, kata-kata yang menenangkan. Biarlah jejak yang kita tinggalkan menjadi cahaya, bukan api yang membakar diri sendiri.

 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda