Skip to main content

Advertisement

Berita

“Jangan Pandang Orang Seperti Kami Tak Boleh Jadi Baik”- Radhi OAG

“jangan pandang orang seperti kami tak boleh jadi baik”- radhi oag

Pada satu ketika dahulu, OAG antara band yang menjadi pujaan dan lagu-lagu mereka menjadi siaulan para remaja. Mengikut carian di internet, OAG pernah muncul kembali dengan album terbaru mereka pada tahun 2015.

Advertisement

Sebut sahaja OAG, pasti orang akan terkenangkan suara Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi. Umum mengetahui, vokalis yang berasal dari Kuching, Sarawak ini pernah beberapa kali terjerumus dalam kancah penagihan dadah. Namun, setiap kali beliau hanyut, sedaya upaya Radhi kembali ke pangkal jalan.

Kami sempat menemu bual Radhi untuk bertanyakan perubahan dirinya daripada seorang yang ketagihan dadah dan kini berusaha untuk kembali menjadi seperti orang biasa. Namun, apabila kami bertanya bagaimana perubahan beliau ini yang dijawab oleh Radhi,

“Buat lah macam mana pun, orang tetap akan ingat apa yang kita buat dulu. Orang tak kisah pun apa yang kita nak buat pada masa akan datang.” Katanya dalam nada kecewa.

Tidak mudah untuk seseorang yang pernah ada sejarah hitam untuk berjalan di atas muka bumi ini. Buatlah kebaikkan seindah cahaya kejora sekalipun, orang akan tetap mengungkit kisah kelam.

Biarpun orang tetap ingat kisah yang lalu, tetapi Radhi tidak menyalahkan mereka. Radhi juga tetap berusaha untuk selesaikan segala perkara-perkara yang tidak diselesaikannya sewaktu beliau dalam fasa ‘kegelapan’.

Kami bertanya kepada Radhi, apa yang menyebabkan beliau bertekad untuk bersihkan diri dan bagaimana beliau melepaskan diri dari najis tersebut.

“Saya terfikir sudah tiba masanya untuk saya betul-betul berhenti.” Ujar Radhi dengan penuh yakin.

Jika dahulu, mungkin beliau berhenti untuk melihat orang lain kembali percaya kepadanya, namun kini, beliau memilih untuk berhenti disebabkan kebahagiaan diri sendiri. Radhi juga bercerita kerana dadah ini juga banyak benda yang tergantung.

Vokalis OAG ini juga bercerita betapa susahnya untuk beliau melepaskan diri daripada kancah ini. Sehinggakan keluarga sendiri pun sudah tidak mempercayai dirinya dan ada kalanya, beliau sendiri kecewa dengan orang disekelilingnya.

Untuk melupakan dan menjauhkan diri dari najis tersebut, Radhi memilih untuk menyibukkan diri dengan kerja-kerjanya. Buat masa ini, Radhi sedang menyiapkan beberapa lagu bersama kumpulannya. Malah, Radhi juga turut mengeluarkan produk sendiri seperti buku Radhio Radikal dan juga guitar stand.

Pandangan masyarakat terhadap orang seperti mereka ini juga boleh menjadi punca kepada perubahan tersebut. Tidak kiralah sama ada perubahan yang baik ataupun buruk, pandangan masyarakat mampu menjadi motivasi ataupun penghalang kepada mereka ini untuk berubah.

“Jangan pandang orang seperti kami tak boleh jadi baik. Tak kisahlah orang tu penagih dadah ataupun sejahat mana sekali pun, berikan mereka pandangan yang baik. Kerana pengakhiran seseorang itu adalah rahsia Tuhan.” Terang Radhi.

Radhi turut berpesan kepada mereka yang pernah terlibat dengan gejala ini dan berniat untuk berubah supaya terus bersabar dan buat tidak mengerti sahaja. Katanya, mulut masyarakat tidak boleh ditutup. Yang penting hati kena kuat dan sentiasa berdoa kepada Allah swt.

Radhi turut berkongsi akan perancangannya bersama OAG. Buat masa ini mereka tinggal sebumbung demi menyiapkan album. Jika tiada aral melintang, dapatlah kita semua melihat album terbaru OAG pada tahun ini.

Radhi juga bercita-cita untuk menghasilkan filem sendiri dan mempunyai label sendiri. Beliau mengharapkan peminat-peminatnya dahulu dan sekarang dapat memberikannya sokongan yang padu. Baginya, kerana peminat-peminat ini lah dia terus bersemangat untuk menghasilkan karya-karya mendatang.

Apa-apa pun, sama-samalah kita mendokan yang terbaik buat Radhi dan kumpulan OAG.

By: Azwar Kamaruzaman

 

 

 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda