
Foto Hiasan
Advertisement
Ramai antara kita ingat belajar rekorder dulu cuma menyakitkan telinga dan membazir masa. Masuk sekolah menengah, hilang terus kegunaan alat kecil tersebut. Tetapi sebenarnya… rekorder adalah salah satu alat latihan otak paling awal yang kita pernah ada.
Di sebalik bunyi sumbang dan latihan ulang-ulang, rekorder mengajar sesuatu yang kita bawa sampai dewasa walaupun kita tak sedar.
Kawal Nafas = Kawal Emosi
Masa cikgu suruh tiup perlahan supaya bunyi tak pecah, kita sebenarnya sedang belajar kawal pernafasan. Itu latihan asas regulasi emosi iaitu kemampuan mengawal diri sewaktu stres, marah atau cemas.
Siapa sangka kan?
Ulang Latihan = Disiplin & Fokus
Main lagu sama lima belas kali sampai betul? Di situlah kita bina fokus, ketekunan dan disiplin, tiga kemahiran yang sama kita gunakan untuk siapkan tugasan harian kita di pejabat hari ini.
Gerakan Jari = Motor Halus Yang Kita Guna Setiap Hari
Jari yang menari cepat ikut nota sebenarnya mengasah motor halus. Tanpa sedar, itu yang buat kita pandai menaip, menulis, guna telefon dan buat kerja teknikal dengan lebih tepat.
Baca Nota + Tempo + Jari = Active Working Memory
Main lagu nampak mudah, tetapi sebenarnya otak buat banyak kerja serentak;
- tengok nota
- ingat tempo
- gerakkan jari
- kawal nafas
- dengar bunyi yang keluar
Ini semua mengaktifkan working memory di mana fungsi otak yang sama kita guna untuk buat keputusan, selesaikan masalah dan berfikir dengan cepat di tempat kerja.
Kita mungkin tak bawa rekorder ke alam pekerjaan. Tetapi setiap kemahiran yang ia latih, kita bawa ke tempat kerja, rumah, menguruskan hubungan dan dalam mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan.
Kadang-kadang, yang paling berharga bukan alatnya tetapi siapa kita jadi selepas melalui proses pembelajaran itu.
Perkembangan otak kanak-kanak memang bermula dengan perkara kecil namun hasilnya bertahan seumur hidup.
Kalau difikirkan kembali, mungkin bunyi rekorder zaman sekolah itu bukan sekadar bising. Ia sebenarnya suara otak kita yang sedang membesar.
Sumber: Public Health Malaysia