Kejohanan Badminton Astro Junior Bawah 15 Tahun 2018 telah berakhir hari ini dengan kemenangan berpihak kepada Kelab Badminton Exist dari Indonesia. Exist berjaya menewaskan Kelab Badminton Anhui Soyu dari China 3-1 untuk membawa pulang wang tunai USD5,000 (RM20,000) dan piala serta medal. Kelab Badminton Anhui Soyu sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan membawa pulang USD3,000 (RM12,500), piala serta medal.

Tempat ketiga dan keempat juga dimenangi oleh pasukan dari Indonesia yang diwakili oleh Kelab Badminton Djarum dan Sekolah Sukan Ragunan. Kedua-duanya membawa pulang USD2,000 (RM8,000) setiap kumpulan, piala dan medal.
Advertisement
Menurut Lee Choong Kay, Ketua Unit Sukan Astro, Kejohanan ini merupakan peluang terbaik buat pemain muda berbakat besar bersaing dengan peserta dari seluruh Asia untuk menyerlahkan kemahiran dalam sukan badminton. Lee Choong Kay turut mengakui bangga dengan prestasi dan semangat kesukanan yang ditunjukkan setiap pasukan sepanjang empat hari kejohanan dan berharap para pemain dapat menggunakan pengalaman di kejohanan ini sebagai batu loncatan untuk mewakili negara mereka peringkat global.

Kejohanan Badminton Astro Junior Bawah 15 Tahun 2018 merupakan pertandingan yang melibatkan pasukan campuran bawah 15 tahun pertama di Asia untuk membuka platform tambahan buat pemaian muda berbakat besar ke peringkat kebangsaan dan serantau.
Kejohanan Badminton Astro Junior bawah 15 tahun ini disokong oleh Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; F&N Beverages Marketing; Victor Sports dan Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara.