
Foto sekadar hiasan
Advertisement
Ramai beranggapan perkahwinan itu manis belaka dan dipenuhi detik-detik bahagia seperti bulan madu tanpa penghujung. Namun, pandangan ini hanyalah mitos.
Menurut pendakwah Ustazah Asmak Husin, kebahagiaan rumah tangga memerlukan ilmu, kesabaran, dan keimanan, bukan semata-mata kisah indah di media sosial.
Perkahwinan Bukan Semuanya Indah
Ustazah Asmak menjelaskan, tanggapan bahawa perkahwinan sentiasa indah adalah salah.
“Sebelum berkahwin semuanya indah-indah belaka kerana kita belum dibebani dengan amanah dan tanggungjawab. Ya, sebelum berkahwin pasangan kita nampak serba sempurna, tapi lepas berkahwin sedikit demi sedikit sikap kekurangannya akan terpancar,” katanya.
Konflik dan perbezaan pendapat adalah normal kerana lelaki dan wanita memang berbeza. Oleh itu, setiap pasangan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu mengenai komunikasi dan pengurusan konflik.
“Dalam perkahwinan amat penting kepada ilmu, pengurusan konflik, pengurusan komunikasi dan teknik-teknik rumah tangga agar rumah tangga kekal bahagia hingga ke syurga,” ujar beliau.
Ujian, Bukan Nasib Malang
Bagi mereka yang mendapat pasangan kurang menunaikan tanggungjawab agama, Ustazah Asmak menegaskan ia bukanlah nasib malang, sebaliknya ujian.
“Ini adalah satu mitos yang berlegar dalam masyarakat bahawa mereka bernasib malang sekiranya berkahwin dengan lelaki yang tidak solat, tidak kuat beribadah dan sebagainya. Itu bukan nasib malang tetapi itu adalah ujian,” jelasnya.
Beliau mencontohkan kisah isteri Firaun, Asiah, yang teguh imannya meskipun bersuamikan lelaki paling zalim.
“Suami yang tidak baik bukan penghalang untuk kita masuk syurga. ALLAH sudah lama berikan model kepada wanita sebegini di dalam Al-Quran. Asiah tidak dijadikan alasan untuk bersedih dan kecewa, sebaliknya keimanan dan ketakwaannya semakin kuat,” katanya.
Foto sekadar hiasan
Kesabaran dan Kebergantungan Kepada Allah
Bagi wanita yang diuji dengan pasangan seperti itu, kunci utama adalah bersabar dan sentiasa bergantung kepada Allah SWT.
“Semakin kita kuat bersabar dan yakin dengan ALLAH, percayalah pahala besar menanti kita,” titip Ustazah Asmak.
Bagi yang belum berkahwin, beliau menasihatkan supaya berhati-hati memilih pasangan dan tidak berhenti berdoa.
“Soal jodoh jangan berhenti berusaha untuk mencari dan perbaiki diri. Insya-ALLAH masanya akan tiba,” katanya.
Foto sekadar hiasan
Bujang Pun Punyai Ladang Pahala
Ustazah Asmak turut menangkis persepsi bahawa mereka yang belum berkahwin kurang bernasib baik atau kehilangan peluang pahala.
“Tidak semestinya perkahwinan sahaja mempunyai ladang pahala. Ibu bapa juga merupakan ladang pahala yang sangat berharga. ALLAH belum rezekikan kamu berkahwin, mungkin khidmat kamu kepada ibu bapa belum cukup besar,” ujarnya.
Beliau menasihati golongan bujang agar menumpukan tenaga berbakti kepada ibu bapa dan memperbaiki hubungan keluarga.
“Daripada bersedih, lebih baik fokus betul-betul berkhidmat kepada ibu bapa, baiki dan eratkan hubungan adik-beradik sebelum mereka meninggalkan kita. Tiada kasih sayang sesuci kasih ayah dan ibu,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian