
Foto: Instagram
Advertisement
Sebuah kapal bantuan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang menuju ke Gaza dilaporkan sekali lagi menjadi sasaran serangan dron di Tunisia.
Insiden terbaharu itu melibatkan bot yang dinaiki peserta Musa Nuwayri bersama dua lagi rakan seperjuangan, Iylia Balqis dan Sul Aidil. Serangan berlaku pada Rabu dan mengakibatkan kebakaran di dek kapal, namun api berjaya dipadamkan tanpa sebarang kecederaan.
“Adakah ini akan melemahkan kami? Tidak sama sekali,” tegas Musa.
Menurut aktivis Yusuf Omar dalam hantaran di media sosial, kejadian ini berlaku selepas serangan serupa dilaporkan sehari sebelumnya di sebuah pelabuhan Tunisia. Katanya, kebakaran tercetus di bahagian dek atas kapal berkenaan, namun tiada mangsa cedera.
Konvoi GSF kini dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Bagaimanapun, insiden serangan berulang itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan misi tersebut.
Semalam, sebuah kapal utama flotila yang berdaftar di bawah bendera Portugal turut dilaporkan terbakar selepas terkena serangan dron ketika berlabuh di Tunisia. Kapal itu membawa jawatankuasa pemandu flotila dengan enam kru dan penumpang, kesemuanya dilaporkan selamat. Namun, kapal berkenaan mengalami kerosakan serius pada dek utama dan ruang simpanan.
Walau bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Tunisia menafikan laporan serangan dron, sebaliknya menyatakan kebakaran berpunca dari dalam kapal di pelabuhan Sidi Bou Said.
Sementara itu, perkembangan berasingan menyaksikan Israel melancarkan serangan di Doha, Qatar, yang disasarkan ke atas beberapa pemimpin kanan Hamas. Qatar mengutuk tindakan itu sebagai serangan pengecut selepas bangunan kediaman yang menempatkan biro politik Hamas menjadi sasaran.
Menurut laporan CNN, antara individu yang diburu Israel ialah ketua perunding Hamas, Khalil Al-Hayya. Bagaimanapun, sehingga kini pihak Israel masih menunggu pengesahan hasil serangan tersebut.
Sumber: Instagram, Astro AWANI