Foto: Kosmo
Kapal Fair Lady yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali dijadualkan memulakan pelayaran ke Gaza hari ini selepas mengalami tiga kali penangguhan.
Advertisement
Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal itu dijangka berlepas dari pelabuhan Catania sebaik penganjur memuktamadkan senarai penumpang.
“Sehingga jam 8 pagi waktu tempatan semalam, sebahagian peserta termasuk rakan sebilik saya, Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung MCM, masih belum menerima mesej pengesahan. Jika tidak menerima mesej tersebut, bermakna mereka tidak terpilih menyertai pelayaran ke Gaza,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau menjelaskan, pengesahan penyertaan lazimnya dilakukan menerusi mesej peribadi yang menyatakan nama penumpang bagi setiap bot. Bagaimanapun, proses itu mengambil masa kerana penganjur perlu meneliti beberapa perubahan.
“Walaupun nama saya disenaraikan sebagai penumpang Fair Lady, debaran masih ada kerana proses kemas kini sedang berjalan. Tidak mustahil saya ditukarkan ke bot lain atau digugurkan daripada senarai,” ujarnya.
Menurut Tuan Asri, kira-kira 14 sukarelawan dari Malaysia bersama lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.
“Mudah-mudahan kami dapat belayar hari ini dan seterusnya bergabung dengan flotilla lain yang berlepas dari Barcelona dan Tunisia,” katanya.
Sementara itu, wartawan bebas ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad turut berdepan cabaran apabila beliau dan anak perempuannya yang bertindak sebagai jurukamera disenaraikan dalam bot berasingan.
“Situasi ini boleh menyulitkan tugasnya, namun beliau menerima dengan tenang dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada cabaran misi,” jelas Tuan Asri.
Sumber: Kosmo