Skip to main content

Advertisement

Berita

Johor Buka Ruang Kepada Pelajar Tahfiz Jadi Imam Tarawih, Keutamaan Masih Kepada Imam Setempat

johor buka ruang kepada pelajar tahfiz jadi imam tarawih, keutamaan masih kepada imam setempatFoto sekadar hiasan

Kerajaan Johor menegaskan bahawa pengendalian solat tarawih di masjid dan surau seluruh negeri pada Ramadan kali ini akan terus diterajui imam tempatan yang sedia berkhidmat.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pendekatan itu selaras dengan amalan sebelum ini yang mengutamakan tenaga tempatan dalam mengimarahkan Ramadan.

Pada masa sama, peluang turut diberikan kepada pelajar tahfiz yang menepati syarat ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor JAINJ untuk memimpin solat berkenaan. Permohonan bagi tujuan tersebut masih dibuka sehingga esok.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kita laksanakan solat tarawih dengan khidmat imam tempatan tetapi kita jemput juga pelajar tahfiz, namun perlu memenuhi syarat ditetapkan JAINJ,” katanya

Beliau turut menjelaskan bahawa negeri ini tidak mendapatkan khidmat imam tarawih dari luar, sebaliknya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada imam setempat serta pelajar tahfiz yang layak.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fared memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan garis panduan penjualan makanan kepada umat Islam sepanjang bulan puasa.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan bukan bertujuan menyekat punca rezeki peniaga, tetapi bagi memastikan jualan dibuat mengikut waktu yang dibenarkan.

“Penguatkuasaan ini bukan untuk menghalang mereka berniaga tetapi peniaga perlu menjual makanan mengikut waktu yang ditetapkan, bukannya di luar waktu terbabit seperti sarapan pagi serta sebagainya,” katanya.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda