Foto: Parlimen Malaysia
Pasangan suami isteri beragama Islam diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mendapatkan khidmat individu yang menggelarkan diri sebagai ‘coach cerai’ dalam menangani masalah rumah tangga, sebaliknya disaran merujuk pihak berkuasa yang sah dan diiktiraf.
Advertisement
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Marhamah Rosli, berkata panduan yang tidak berteraskan syariat Islam berpotensi mengelirukan masyarakat serta memberi kesan buruk terhadap keharmonian institusi keluarga.
“Isu ‘coach cerai’ ini mengajar kita bahawa setiap nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian perlu melalui pendekatan ilmu, kefahaman, bimbingan yang betul serta dirujuk kepada pihak berautoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Marhamah, sebarang rundingan seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh sebelum pasangan membuat keputusan besar berkaitan rumah tangga mereka.
“Rundingan yang saksama perlu diberi keutamaan sebelum sebarang tindakan diteruskan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ wajar dikawal bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Ia penting bagi mengelakkan kegusaran awam serta memastikan penyampaian ilmu, kefahaman dan bimbingan dibuat melalui saluran yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Marhamah berkata kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memandang serius isu ‘coach cerai’ yang tular kebelakangan ini, khususnya apabila ia dikaitkan dengan kes perceraian pasangan selebriti dan melibatkan urusan pentadbiran hal ehwal Islam.
“Perkara seperti ini sepatutnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak,” katanya lagi.
Sebelum ini, tindakan pelakon Uqasha Senrose menggunakan perkhidmatan ‘coach cerai’ bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya bersama Kamal Adli mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Kamal Adli dilaporkan meminta agar segala perselisihan diselesaikan secara bersemuka serta tidak melibatkan pihak luar atau media sosial. Beliau juga menggesa individu yang dikenali sebagai ‘coach cerai’ supaya bersikap adil dengan mendengar penjelasan kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, individu berkenaan tampil mempertahankan diri dengan mendakwa perkhidmatan yang diberikan hanyalah berbentuk bimbingan selepas perceraian, selaras dengan keperluan semasa.
Sumber: Berita Harian