
Foto: Facebook
Advertisement
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa semua masjid dan surau di bawah kelolaannya serta di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Majlis ini dijadualkan berlangsung pada malam ini selepas solat Maghrib.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, program tersebut diadakan atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar. Menurut beliau, pihaknya akan memastikan semua pengurusan masjid melaksanakan arahan itu dengan tertib dan teratur, selaras dengan tuntutan syiar Islam.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham, malah sebagai tanda kasih sayang, solidariti dan keprihatinan kita sebagai umat Islam terhadap ahli keluarga yang sedang diuji,” katanya dalam satu kenyataan.
JAKIM turut menyeru seluruh umat Islam, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk mengambil peluang menghadiri dan menyertai majlis tersebut di masjid atau surau masing-masing.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara bersama ini menjadi sumber kekuatan dan ketenangan kepada keluarga Allahyarham, di samping menjadi amal jariah yang berterusan buat dirinya,” ujar Dr Sirajuddin.
Pihak JAKIM juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Zara Qairina.
Sekadar info, Allahyarham Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah. Pada 16 Julai lalu, kira-kira jam 4 pagi, beliau ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2024. Pemergian pelajar ini telah mengundang rasa sedih dan simpati pelbagai pihak, termasuk masyarakat di seluruh negara yang mengikuti perkembangan kes ini.
Sumber: Bernama