Skip to main content

Advertisement

Berita

Jagalah Hubungan Dengan Allah, Nescaya Allah Akan Menjagamu

jagalah allah, nescaya allah akan menjagamuFoto sekadar hiasan

Setiap manusia mahu hidup dalam rasa selamat. Kita berusaha dengan pelbagai cara, memasang CCTV, mengambil insurans, atau menggunakan pengawal keselamatan. Tapi Islam mengingatkan kita bahawa semua usaha itu penting, tetapi penjagaan sebenar datang daripada Allah SWT. Dialah sebaik-baik Pelindung, yang menjaga setiap langkah kita, tanpa kita tidak sedari.

Advertisement

Rasulullah SAW pernah mengajar Abdullah bin ‘Abbas RA beberapa prinsip penting:

“Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Mintalah pertolongan hanya daripada Allah.” Maksudnya, ketaatan dan doa kepada Allah menjadikan kita sentiasa berada di bawah penjagaan-Nya, manakala segala manfaat dan musibah hanyalah dengan izin-Nya.

Kisah Nabi Ya‘qub AS menunjukkan bagaimana keyakinan kepada Allah memberi ketenangan walau diuji dengan kehilangan Yusof selama bertahun-tahun. Nabi tetap berserah sepenuhnya kepada Allah, yakin bahawa anaknya dijaga oleh-Nya. Begitu juga Nabi Ibrahim AS, yang diselamatkan Allah daripada api yang membara. Kisah ini mengingatkan kita bahawa Allah mampu melindungi hamba-Nya dalam keadaan paling sukar sekalipun, walaupun logik manusia berkata sebaliknya.

Selain itu, Islam menekankan penjagaan diri dalam kehidupan seharian. Kita disuruh menunaikan solat dengan khusyuk, menjaga pandangan, lidah, dan perbuatan daripada perkara haram atau maksiat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menjaga mulut dan kemaluannya, maka aku jamin syurga untuknya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini bermaksud, penjagaan Allah SWT bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga hati, akhlak, dan iman. Seorang mukmin yang menjaga hubungan dengan Allah akan dilindungi dari godaan dan bencana, serta sentiasa dibimbing untuk membuat keputusan yang betul dalam hidup.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Insyirah:

"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Ini mengingatkan kita bahawa setiap ujian pasti ada jalan penyelesaian. Kita perlu bersabar, terus berusaha, tetapi sentiasa bergantung kepada Allah sebagai sumber pertolongan sebenar.

Praktikkan juga zikir dan doa selepas solat, contohnya:

اَللّهُمَّ اَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ يَاذَاْلجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ

“Ya Allah, Engkaulah yang memberi keselamatan. Dari-Mu keselamatan bersumber. Engkau Maha Agung, wahai Dzat yang memiliki keagungan dan kemuliaan.”

Dengan menjaga Allah SWT, kita akan meraih penjagaan-Nya dalam setiap aspek: iman, hati, keluarga, dan kehidupan seharian. Kita diajar agar tidak terlalu bergantung kepada sebab atau usaha semata-mata, kerana segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Pegang teguh iman, bersabar dalam kesusahan, dan yakin bahawa Allah sentiasa berada di sisi hamba-Nya yang taat.

Kesimpulannya, jagalah Allah dalam setiap detik kehidupan sam ada dalam solat, perkataan, perbuatan, dan hubungan dengan orang lain. Dengan itu, hidup kita akan sentiasa diselubungi rahmat, hidayah, dan perlindungan Allah SWT, dunia dan akhirat.

Sumber: Harakah Daily

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda