
Foto: Al-Jazeera
Advertisement
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan bagi melaksanakan tahap pertama gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel telah menandatangani Tahap Pertama Rancangan Keamanan kami,” katanya menerusi platform media sosial Truth Social pada Rabu (8 Oktober).
Menurut laporan Al Jazeera, Trump menjelaskan bahawa semua tebusan akan dibebaskan dan Israel akan menarik tenteranya ke kawasan yang telah dipersetujui.
Qatar selaku negara perantara memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Para perantara mengesahkan bahawa malam ini telah dicapai kesepakatan berhubung semua syarat serta mekanisme pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
“Ia akan membawa kepada penamatan perang, pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed al-Ansari.
Pengumuman ini dibuat hanya beberapa jam selepas Trump memaklumkan bahawa rundingan berjalan dengan baik dan beliau berhasrat melawat Timur Tengah pada hujung minggu ini.
Cadangan gencatan senjata fasa pertama itu merangkumi penghentian pertempuran serta pembebasan 48 tebusan Israel di Gaza, termasuk 20 yang disahkan masih hidup. Dalam tempoh sama, sejumlah tahanan Palestin akan dibebaskan oleh Israel.
Hamas dilaporkan telah menyerahkan senarai nama tebusan yang akan dilepaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan Israel.
Selain itu, Hamas turut mengemukakan permintaan supaya beberapa tahanan politik dibebaskan dari penjara Israel, termasuk pemimpin gerakan Fatah, Marwan al-Barghouti, dan ketua Front Popular bagi Pembebasan Palestin, Ahmed Saadat.
Sumber: Astro AWANI