Foto: Agensi
Kumpulan nasyid popular, Inteam meluahkan rasa syukur apabila kejayaan konsert pertama mereka sebelum ini bukan sahaja memberi makna besar buat kumpulan tersebut, malah menjadi pencetus kepada penganjuran lebih banyak konsert nasyid lain.
Advertisement
Menurut Inteam, sambutan positif yang diterima membuktikan bahawa genre nasyid masih mempunyai tempat di hati peminat dan berpotensi untuk kembali diangkat dalam arus perdana muzik tempatan.
“Kami bersyukur atas kejayaan konsert pertama kami dahulu, ia secara tidak langsung menjadi momentum buat kumpulan-kumpulan nasyid yang lain,” kata mereka ketika ditemui semasa sesi latihan Konsert Inteam Nur Kasih.
Tambah mereka, selepas konsert berkenaan, semakin banyak acara dan konsert nasyid dianjurkan, sekali gus membuka ruang baharu buat genre itu untuk kembali mendapat perhatian.
“Sebab selepas konsert pertama kami, banyak lagi konsert-konsert nasyid yang lain dianjurkan. Kami bersyukur kerana mungkin ini masanya genre nasyid untuk kembali diangkat dan mendapat sambutan dalam kalangan peminat,” ujar mereka.
Inteam turut mengakui secara jujur bahawa muzik nasyid pernah berada dalam fasa suram dan kurang mendapat perhatian dalam industri hiburan.
“Secara jujurnya, kami memang merasakan genre nasyid ini semakin pudar dalam industri. Jadi macam mana kita nak gemilangkan semula, mungkin melalui cara ini,” jelas mereka.
Usaha berterusan yang dilakukan itu nyata membuahkan hasil apabila Inteam melihat kesannya bukan sahaja kepada kumpulan sendiri, malah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam dunia nasyid.
“Jadi alhamdulillah, momentum yang kami lakukan berjaya memberikan impak buat rakan-rakan yang lain,” kata mereka lagi.
Untuk rekod, Inteam yang ditubuhkan pada awal 2000-an dikenali menerusi lagu-lagu malar segar seperti Nur Kasih, Kasih Kekasih, Setanggi Syurga, Rabiatul Adawiyah, Dia dan Impian Kasih, yang masih menjadi pilihan pendengar sehingga hari ini.
Konsert berskala besar pertama mereka sempena ulang tahun ke-25 sebelum ini telah membuka lembaran baharu dalam sejarah nasyid apabila berjaya menarik ribuan peminat dan sekali gus mencetuskan kebangkitan semula genre tersebut.
Kali ini, Inteam bakal mengadakan Konsert Inteam Nur Kasih sebagai kesinambungan usaha memartabatkan muzik nasyid, dengan harapan ia terus mendapat sokongan dan kekal relevan dalam industri hiburan tanah air.