Foto: Adara Relief International
Isu penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla (GSF) ke Palestin menimbulkan persoalan dari segi hukum Islam. Secara asasnya, jihad di jalan Allah SWT merupakan amalan mulia yang dijanjikan ganjaran besar.
Advertisement
Ia merangkumi pelbagai bentuk perjuangan, termasuk usaha membantu umat Islam yang tertindas, sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 111 mengenai ganjaran syurga bagi mereka yang berjuang di jalan-Nya.
Namun, menurut pandangan para ulama, jihad yang berbentuk peperangan tidak diwajibkan ke atas wanita. Dalam kitab Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, Imam Abu Syuja’ menyenaraikan tujuh syarat wajib jihad iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan berkemampuan. Imam Sulaiman al-Bujairimi turut menjelaskan bahawa syarat lelaki ditekankan kerana faktor fizikal wanita yang lebih lemah.
Walau bagaimanapun, ini hanya merujuk kepada jihad dalam bentuk peperangan bersenjata. Dalam sejarah Islam, terdapat ramai wanita yang turut serta dalam jihad dengan memainkan peranan bukan tempur. Antara contoh yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari ialah Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim yang membantu memberi minuman serta merawat tentera Islam yang cedera dalam Perang Uhud.
Berdasarkan hadis tersebut, ulama seperti Ibn Battal menjelaskan bahawa peranan wanita di medan jihad tetap dikira sebagai penyertaan langsung yang diberikan ganjaran sama seperti mereka yang berjuang di barisan hadapan. Imam Badruddin al-‘Aini turut menegaskan bahawa sumbangan tersebut tetap dinilai sebagai jihad di sisi Allah SWT.
Dalam konteks misi kemanusiaan moden seperti flotila ke Palestin, hukum wanita menyertai misi sebegini adalah harus dengan beberapa syarat:
• Menjalankan peranan yang signifikan seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.
• Memastikan keselamatan dan perlindungan diri terjamin di bawah organisasi yang sah dan tersusun.
• Menjaga aurat, maruah dan mengelakkan sebarang perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Kesimpulannya, walaupun jihad mengangkat senjata tidak diwajibkan ke atas wanita, penglibatan mereka dalam bentuk bantuan kemanusiaan tetap digalakkan dan sangat terpuji. Seperti contoh Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim, wanita juga berperanan besar dalam menyokong perjuangan umat Islam dengan cara yang sesuai dan selamat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah