
Foto Hiasan
Advertisement
Baru-baru ini, dunia media sosial sekali lagi dikejutkan dengan perbincangan hangat mengenai hukum jurusolek lelaki merias wajah wanita. Isu ini bukanlah baharu lagi dibangkitkan dan ia merupakan topik yang wajib diperdebatkan setiap tahun. Video seorang penyanyi wanita popular yang tular menunjukkan beliau sedang disolek oleh seorang jurusolek lelaki sebelum majlis pernikahannya mencetuskan perdebatan netizen, lebih-lebih lagi selepas Majlis Agama tampil memberi pandangan bahawa perbuatan itu adalah haram kecuali dalam keadaan darurat.
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam Assofa, Amienah Ridzuan, menjelaskan bahawa daripada sudut hukum Islam, sentuhan fizikal tanpa keperluan darurat antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah dilarang, walaupun atas tujuan profesional seperti solekan. Beliau turut menegaskan bahawa hukum ini bertujuan untuk mengelakkan fitnah, syubhah dan membuka ruang kepada maksiat.
Industri solekan hari ini bukan lagi sesuatu yang kecil. Ia telah berkembang menjadi satu bidang kerjaya profesional yang melibatkan ribuan tenaga kerja, termasuk jurusolek lelaki yang berbakat besar. Ramai artis, selebriti dan pengantin memilih jurusolek lelaki kerana hasil kerja mereka yang teliti dan kreatif.

Foto Hiasan
Namun begitu, timbul persoalan;
Adakah bakat semata-mata boleh menghalalkan sentuhan tanpa batas?
Dalam dunia moden yang penuh cabaran ini, penyelesaian boleh dicapai jika semua pihak memahami batas masing-masing. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah jurusolek lelaki mengajar atau memberi panduan solekan tanpa sentuhan langsung, mewujudkan lebih ramai jurusolek wanita berbakat besar dalam industri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap lelaki dan mengutamakan niat, menjaga adab serta batas agama dalam setiap urusan.
Perdebatan ini bukan soal membenci atau menyekat rezeki sesiapa, tetapi tentang mencari keseimbangan antara profesionalisme dan hukum agama. Dalam mengejar kecantikan luaran, jangan sesekali mengabaikan kecantikan akhlak dan ketakwaan.
Akhir kata, kecantikan sebenar adalah apabila kita mampu menjaga maruah dan batas dalam apa jua bidang yang kita ceburi.
Sumber: Tiktok (@majoritiofficial)