Skip to main content

Advertisement

Berita

Hukum Penggunaan Gelaran ‘Kafir’ Terhadap Orang Bukan Islam?

hukum penggunaan gelaran ‘kafir’ terhadap orang bukan islam?Foto sekadar hiasan

Isu penggunaan istilah kafir bagi merujuk kepada orang bukan Islam kembali menjadi perdebatan dalam masyarakat. Ada pihak yang berpendapat bahawa lebih baik digunakan istilah bukan Islam kerana dianggap lebih lembut dan harmoni, manakala ada juga yang menegaskan bahawa gelaran kafir adalah tepat sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. Persoalan yang timbul, adakah wajar untuk mengharamkan terus penggunaan perkataan kafir dalam masyarakat Muslim?

Advertisement

Menurut pandangan ulama, istilah kafir adalah kalimah bahasa Arab yang jelas disebut berkali-kali dalam al-Quran dan hadis. Lafaz ini digunakan untuk merujuk kepada golongan yang tidak mengakui Allah SWT sebagai Tuhan, tidak mempercayai kerasulan Nabi Muhammad SAW, serta menolak kewujudan hari kebangkitan. Dengan kata lain, ia adalah satu istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran. Hakikat ini tidak akan berubah.

Namun, berdasarkan pendekatan fiqh mizan (keseimbangan), penggunaan istilah kafir boleh disesuaikan mengikut keadaan, tempat dan suasana. Dalam konteks interaksi sosial atau dakwah kepada orang bukan Islam, penggunaan istilah yang lebih harmoni seperti non-Muslim atau bukan Islam adalah dibolehkan kerana ia membantu mewujudkan suasana yang lebih mesra serta mengurangkan salah faham.

Penggunaan istilah tersebut dilihat sebagai salah satu pendekatan dakwah yang lembut, selari dengan seruan al-Quran agar umat Islam berdakwah dengan penuh hikmah. Oleh itu, mengharamkan sama sekali penggunaan perkataan kafir bukanlah satu tindakan yang tepat. Walau bagaimanapun, jika larangan itu dibuat demi menjaga hubungan masyarakat serta memudahkan usaha dakwah, maka ia masih dianggap menepati tuntutan Islam.

Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyebut secara jelas berkenaan golongan kafir serta ciri-ciri mereka. Antaranya firman Allah SWT:

"Orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik tidak akan terlepas (daripada agama dan kepercayaan mereka) sehingga datang kepada mereka bukti yang nyata." (Surah al-Bayyinah: 1)

Menurut tafsiran Ibn Kathir, ayat ini mengiktiraf gelaran kafir kepada Ahl al-Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani, selain kaum musyrikin yang menyekutukan Allah SWT. Begitu juga Imam al-Qurtubi menjelaskan secara khusus bahawa ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi di Madinah pada zaman Rasulullah SAW, seperti Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’, serta orang-orang musyrik di Mekah dan Madinah.

Persamaan utama mereka ialah menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, maka gelaran kafir digunakan terhadap mereka.

Jelas bahawa al-Quran menetapkan istilah kafir bagi golongan yang tidak menerima Islam, sama ada daripada kalangan Ahl al-Kitab mahupun musyrikin. Oleh itu, istilah ini bukanlah satu penghinaan, sebaliknya penegasan terhadap kedudukan iman dan kufur dalam ajaran Islam.

Kesimpulannya, istilah kafir merupakan lafaz yang sah dalam al-Quran dan hadis, khusus untuk merujuk kepada golongan yang tidak beriman kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan hari akhirat.

Walau bagaimanapun, dalam konteks sosial dan dakwah, penggunaan istilah lain yang lebih lembut seperti bukan Islam boleh dipraktikkan mengikut kesesuaian keadaan. Pendekatan ini lebih menzahirkan hikmah, kesantunan, serta keseimbangan dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Sumber: Kosmo

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda