
Foto Hiasan
Advertisement
Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Ia hari yang penuh keberkatan dan menjadi peluang besar untuk meraih pahala serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, dalam keghairahan menyambut Jumaat, sering kali ada antara kita yang terlupa erti sebenar hadir ke masjid bukan sekadar memenuhi rutin mingguan, tetapi sebagai tanda bukti ketakwaan kepada Allah SWT.
Sebagai umat Islam yang ingin meraih keredaan-Nya, tumpuan sepenuhnya perlu diberikan ketika mendengar khutbah Jumaat. Khutbah bukan sekadar formaliti sebelum solat, tetapi sebahagian daripada ibadah itu sendiri. Ia adalah medan peringatan, nasihat dan pengajaran yang menjadi bekalan rohani bagi setiap Muslim.
Namun, alangkah ruginya apabila peluang besar ini dirosakkan oleh perkara lagha dan sia-sia seperti berbual-bual, bermain telefon, memejam mata tidur dengan sengaja, atau berbicara perkara tidak penting ketika khatib sedang berkhutbah.

Foto Hiasan
Rasulullah SAW telah mengingatkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim:
“Apabila kamu berkata kepada temanmu pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, ‘Diamlah,’ maka sesungguhnya kamu telah melakukan lagha (perkara sia-sia).”
Betapa halusnya Islam mendidik adab hingga menegur sekalipun dilarang, kerana khutbah itu sendiri adalah waktu untuk mendengar dan merenung.
Menjaga adab ketika khutbah Jumaat adalah cerminan ketakwaan dan keikhlasan hati. Ia bukan sekadar mendengar dengan telinga, tetapi dengan hati yang ingin berubah, menambah ilmu dan memperbaiki diri.
Maka, marilah kita sama-sama menjadikan setiap Jumaat sebagai momen muhasabah diri, bukan waktu untuk bersembang atau berehat, tetapi sebagai peluang untuk menambah pahala dan membuktikan kecintaan kita kepada Allah SWT.