Acap kali, ketika kita mendengar istilah ‘stress’ minda kita akan secara langsung mengaitkan sesuatu yang buruk dan harus dijauhi atau diubati. Sejauh manakah pengaruh stress ini menjejaskan kehidupan manusia dan adakah benar bahawa stress itu tidak seburuk yang disangka?

Sebelum kita merungkai dengan lebih lanjut, mari kita menjenguk apakah itu stress? Stress adalah reaksi normal oleh badan manusia apabila bertemu dengan perubahan yang memerlukan penyesuaian atau tindak balas. Reaksi ini berlaku dari segi fizikal, mental, dan emosi.
Advertisement
Menurut pakar psikologi, elemen stress ini adalah sesuatu yang normal dalam diri manusia. Tanpa stress, kehidupan kita tidak akan berubah kepada yang lebih baik. Misalnya, seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akan merasa stress menghampiri tarikh peperiksaan tersebut. Namun begitu, faktor stress itu yang akan mendesak beliau untuk terus gigih mengulangkaji pelajaran agar dapat menjawab soalan dengan mudah. Hal ini bersamaan dengan segala cabaran yang kita telah, sedang dan akan hadapi dalam kehidupan seharian. Tanpa elemen stress, kita tidak akan dapat menempuh rintangan-rintangan tersebut dengan jayanya.
Kajian menunjukkan elemen stress dalam kehidupan seharian yang terkawal dan tidak berlebihan akan menyumbang kepada perkembangan prestasi dalam pekerjaan, peningkatan motivasi, dan juga memori. Pakar juga berpendapat, stress yang terkawal dapat memperkuatkan sisten imunisasi badan dalam jangka masa yang panjang.
Walaubagaimanapun, sekiranya stress tidak dikawal dengan baik, ia akan menyebabkan kemudaratan kepada diri dan menzahirkan symptom-sipmtom yang kurang disenangi seperti keresahan terlampau (anxiety), tiada daya dalam menyelesaikan tugasan, dan mudah marah. Dari segi fizikal, seseorang yang mempunyai stress yang kronik boleh membawa kepada simptom-simptom yang lebih mudarat seperti pening kepala/migrain, system imunisasi yang lemah, dan kemurungan.
Secara kesimpulannya, kesederhanaan adalah penting dalam pengawalan stress kendiri. Sekiranya ia dapat dikawal dengan baik, kita akan dapat menyerlahkan potensi diri yang mampan dan berdaya saing.
Sumber: VeryWellMind